KEDUDUKAN PARA SAHABAT RASULULLAH S.A.W

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

 

Takrif Sahabat:

Sahabat adalah jamak (plural) daripada kalimah ‘sahib’ (صاحب) yang bermaksud: ‘Kawan rapat, teman baik, dan pengikut setia’.

Dalam istilah usuluddin apabila dikatakan Sahabat Rasulullah s.a.w bermaksud:

هو: الذي لقي الرسول وهو مؤمن به ومات على ذلك

Maksudnya: “Adalah orang yang berjumpa dengan Rasulullah s.a.w dan beriman dengan baginda serta mati sebagai seorang muslim”. [Syarah Tahawiah, Soleh al-Fauzan, 1/203].

Maka syarat untuk seseorang diiktiraf sebagai sahabat adalah melihat baginda secara lansung bukan dalam mimpi dan beriman dengan baginda lalu terus dalam iman itu sehinggalah dia meninggal.

Oleh itu, tidak termasuk sahabat seperti al-Najasyi yang hanya beriman tetapi tidak melihat baginda bahkan dia termasuk al-Tabiin, demikian juga tidak termasuk sama sekali Abu Talib, Abu Jahal, Abu Lahab, Abdullah bin Ubai bin Salul dan seumpama mereka yang berjumpa Rasulullah s.a.w tetapi tidak beriman dengan baginda.

Kedudukan Sahabat radiallahu’anhum:

Sahabt Rasulullah s.a.w termasuk dalam golongan pertama dalam martabat al-Wala’ yang wajib diberi kesetiaan penuh kepada mereka. Tidak boleh ada walau sebesar zarah sekalipun dalam hati seorang mukmin perasaan benci atau tidak suka kepada Sahabat Rasulullah s.a.w bahkan hendaklah hatinya dipenuhi kecintaan 100% terhadap mereka.

Dalilnya banyak sekali antaranya firman Allah s.w.t:

لَقَدْ رَضِيَ اللَّهُ عَنِ الْمُؤْمِنِينَ إِذْ يُبَايِعُونَكَ تَحْتَ الشَّجَرَةِ فَعَلِمَ مَا فِي قُلُوبِهِمْ فَأَنْزَلَ السَّكِينَةَ عَلَيْهِمْ وَأَثَابَهُمْ فَتْحًا قَرِيبًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya! Allah reda akan orang-orang yang beriman, ketika mereka memberikan pengakuan taat setia kepadamu (Wahai Muhammad) di bawah naungan pohon (yang termaklum di Hudaibiyah); maka (dengan itu) ternyata apa yang sedia diketahuiNya tentang (kebenaran iman dan taat setia) yang ada dalam hati mereka, lalu ia menurunkan semangat tenang tenteram kepada mereka, dan membalas mereka dengan kemenangan yang dekat masa datangnya” [al-Fath:18].

Ayat ini menjelaskan kedudukan para Sahabat Nabi s.a.w yang telah berbaiat setia dalam peristiwa Hudaibiah sekaligus menunjukkan kepada kita wajibnya kita memerangi kelompok Syiah Rafidah kerana Rasulullah s.a.w telah berbaiat (janji setia) dengan Sahabat baginda untuk memerangi orang kafir Quraish yang disangka menahan Saidina Usman bin Affan r.a maka lebih utama lagi kita memerangi orang yang benar-benar menahan dan mengepung Usman bin Affan r.a seperti Rafidah dan mencaci beliau sepanjang masa.

Firman Allah s.w.t:

لِلْفُقَرَاءِ الْمُهَاجِرِينَ الَّذِينَ أُخْرِجُوا مِنْ دِيَارِهِمْ وَأَمْوَالِهِمْ يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا وَيَنْصُرُونَ اللَّهَ وَرَسُولَهُ أُولَئِكَ هُمُ الصَّادِقُونَ (8) وَالَّذِينَ تَبَوَّءُوا الدَّارَ وَالْإِيمَانَ مِنْ قَبْلِهِمْ يُحِبُّونَ مَنْ هَاجَرَ إِلَيْهِمْ وَلَا يَجِدُونَ فِي صُدُورِهِمْ حَاجَةً مِمَّا أُوتُوا وَيُؤْثِرُونَ عَلَى أَنْفُسِهِمْ وَلَوْ كَانَ بِهِمْ خَصَاصَةٌ وَمَنْ يُوقَ شُحَّ نَفْسِهِ فَأُولَئِكَ هُمُ الْمُفْلِحُونَ (9) وَالَّذِينَ جَاءُوا مِنْ بَعْدِهِمْ يَقُولُونَ رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَحِيمٌ (10)

Maksudnya: “(pemberian itu hendaklah diuntukkan) kepada orang-orang fakir yang berhijrah, yang telah diusir keluar dari kampung halamannya dan harta bendanya (kerana berpegang teguh kepada ajaran Islam), untuk mencari limpah kurnia dari Allah dan keredaanNya, serta menolong (ugama) Allah dan RasulNya; mereka itulah orang-orang yang benar (imannya dan amalnya). dan orang-orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang-orang yang berhijrah ke negeri mereka, dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang-orang yang berhijrah itu; dan mereka juga mengutamakan orang-orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat. dan (ingatlah), sesiapa yang menjaga serta memelihara dirinya daripada dipengaruhi oleh tabiat bakhilnya, maka merekalah orang-orang yang berjaya. dan orang-orang (Islam) yang datang kemudian daripada mereka (berdoa dengan) berkata: “Wahai Tuhan kami! ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! sesungguhnya Engkau amat melimpah belas kasihan dan RahmatMu”. [al-Hasyr: 8-10].

Dalam ayat ini Allah s.w.t memuji dan menetapkan bahawa para Sahabat Rasulullah s.a.w daripada Muhajirin dan Ansar berhak mendapat bahagian harta Fai (yang diperoleh daripada kafir harbi tanpa peperangan) dan menetapkan bahawa kedua-dua golongan ini benar-benar beriman kepada Allah s.w.t dengan ikhlas dan termasuk hamba Allah yang dikasi oleh-Nya. Demikian juga Allah memuji pada ayat ke-10 mereka yang mengikut jejak Muhajirin dan Ansar dan mendoakan kebaikan bagi mereka.

Berdasarkan ayat ini, Imam Malik rahimahullah menetapkan bahawa kaum Rafidah adalah kafir dan tidak berhak mendapat fai. Maka dalam ayat ke-10 ini juga menetapkan kemuliaan Ulama al-Salaf al-Soleh selepas Sahabat iaitu al-Tabiin dan al-Tabi Tabiin.

Firman Allah s.w.t dalam surah al-Taubah ayat 100:

وَالسَّابِقُونَ الْأَوَّلُونَ مِنَ الْمُهَاجِرِينَ وَالْأَنْصَارِ وَالَّذِينَ اتَّبَعُوهُمْ بِإِحْسَانٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ وَرَضُوا عَنْهُ وَأَعَدَّ لَهُمْ جَنَّاتٍ تَجْرِي تَحْتَهَا الْأَنْهَارُ خَالِدِينَ فِيهَا أَبَدًا ذَلِكَ الْفَوْزُ الْعَظِيمُ

Maksudnya: “dan orang-orang yang terdahulu – yang mula-mula (berhijrah dan memberi bantuan) dari orang-orang “Muhajirin” dan “Ansar”, dan orang-orang yang menurut (jejak langkah) mereka dengan kebaikan (iman dan taat), Allah reda akan mereka dan mereka pula reda akan Dia, serta Dia menyediakan untuk mereka Syurga-syurga yang mengalir di bawahnya beberapa sungai, mereka kekal di dalamnya selama-lamanya; itulah kemenangan yang besar.”

Ayat ini menetapkan bahawa para Sahabat dan pengikut mereka daripada Ahli Sunnah wal Jamaah akan selamat di akhirat nanti dan mereka dijanjikan syurga oleh Allah s.w.t, adapun mereka yang menyimpang seperti Rafidah, Asyairah, dan lainnya adalah golongan tercela. Ini sesuai pula dengan sabda Nabi s.a.w:

وتفترق أمتي على ثلاث وسبعين ملة كلهم في النار إلا ملة واحدة قالوا ومن هي يا رسول الله قال ما أنا عليه وأصحابي

Maksudnya: “dan umatku (Umat Islam) akan berpecah kepada 73 golongan yang semuanya menuju ke neraka kecuali satu sahaja”; Sahabat bertanya: ‘Siapakah dia wahai Rasulullah?’ Jawab baginda: “Golongan yang mengikutku dan para sahabatku”. [al-Tarmizi, hasan].

Sabda Rasulullah s.a.w:

لَا تَسُبُّوا أَصْحَابِي فَلَوْ أَنَّ أَحَدَكُمْ أَنْفَقَ مِثْلَ أُحُدٍ ذَهَبًا مَا بَلَغَ مُدَّ أَحَدِهِمْ وَلَا نَصِيفَهُ

Maksudnya: “Janganlah kamu mencela sahabat-sahabatku kerana jika kamu salah seorang kamu bersedekah emas sebesar Uhud sekalipun tidak akan sama (pahalanya) dengan sedekah sahabatku sebanyak secupak dan tidak pula setengahnya”. [al-Bukhari & Muslim].

Hadis ini jelas menunjukkan bahawa Sahabat itu adalah golongan yang dimuliakan dan dipuji mereka itu serta tidak layak sama sekali untuk dicerca dan dihina walaupun ada antara mereka yang melakukan dosa besar seperti Maiz r.a dan Hatib bin Abi Balta’ah r.a bahkan dosa mereka semuanya terampun dengan segera. Sabda Nabi s.a.w apabila Umar r.a ingin menghukum Hatib bin Abu Balta’ah atas kesalahan beliau cuba membocorkan rahsia kedatangn Rasulullah s.a.w ke Mekah dalam peristiwa Fathu Makkah:

إِنَّهُ قَدْ شَهِدَ بَدْرًا وَمَا يُدْرِيكَ لَعَلَّ اللَّهَ أَنْ يَكُونَ قَدْ اطَّلَعَ عَلَى أَهْلِ بَدْرٍ فَقَالَ اعْمَلُوا مَا شِئْتُمْ فَقَدْ غَفَرْتُ لَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya dia (Hatib) telah menyertai peperangan Badar dan apa yang dapat memberi tahumu jika mudah-mudahan Allah s.w.t telah melihat Ahli Badar dan berkata: “Buatlah apa sahaja yang kamu kehendaki kerana Aku telah mengampunkan kamu”. [al-Bukhari & Muslim].

Ini menunjukkan kesalahan Sahabat sama ada dosa besar atau kecil adalah diampunkan serta merta dan mereka pasti masuk ke syurga tanpa syak walau sedikit pun. Sesiapa yang mengkafirkan salah seorang sahabat maka dia kufur dengan serta merta seperti Rafidah.

Atas dalil-dalil ulama Ahli Sunnah wal Jamaah telah berijmak bahawa wajibnya ke atas kaum muslimin mencintai para Sahabat Nabi s.a.w tanpa memilih bulu dan atas dasar dalil al-Quran, al-Sunnah, dan Ijmak ini Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan salah satu prisnip Iman mereka adalah:

ونحب أصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم، ولا نفرط في حب أحد منهم، ولا نتبرأ من أحد منهم. ونبغض من يبغضهم، وبغير الخير يذكرهم. ولا نذكرهم إلا بخير. وحبهم دين وإيمان وإحسان، وبغضهم كفر ونفاق وطغيان

Maksudnya: “dan kami (ASWJ) mencintai para Sahabat Rasulullah s.a.w dan kami tidak berlebih-lebihan dalam mencintai mereka dan tidak pula kami berlepas diri walau dari seorang daripada mereka dan kami membenci orang yang membenci mereka dan kami tidak menyebut mereka kecuali dengan kebaikan dan mencintai mereka adalah Islam, Iman, dan Ihsan serta membenci mereka adalah kafir, munafiq, dan taghut”. [Aqidah al-Tahawiah].

Oleh itu, Ahli Sunnah wal Jamaah menetapkan keimanan kita kepada Allah s.w.t dan Rasul-Nya termasuk juga dalamnya mencintai para Sahabat Nabi radiallahu’anhum serta menurut ,manhaj mereka dalam segenap aspek kehidupan sama ada akidah, ibdah, akhlak, muamalah, politik, dan sosial.

Martabat Para Sahabat:

Ahli Sunnah wal Jamaah telah Ijmak bahawa yang paling afdal selepas Rasulullah s.a.w adalah Abu Bakar al-Siddiq r.a kemudian Umar r.a berdalilkan hadis:

اقْتَدُوا بِاللَّذَيْنِ مِنْ بَعْدِي: أَبِي بَكْرٍ وَعُمَرَ

Maksudnya: “Ikutlah dua orang selepasku: Abu Bakar dan Umar”. [Riwyat Ashab al-Sunan].

Hadis ini juga menunjukkan Khalifah selepas Rasulullah s.a.w adalah Abu Bakar kemudian diikuti Umar r.a. Kemudian diikuti Usman r.a dan Ali r.a dan terdapat ikhtilaf dalam menetapkan antara Usman dan Ali siapakah yang lebih utama setelah mereka bersepakat Khalifah selepas Umar adalah Usman kemudian Ali. Pendapat Jumhur adalah Usman lebih utama kemudian Ali berdalilkan hadis daripada Ibn Umar r.a katanya:

كُنَّا نُخَيِّرُ بَيْنَ النَّاسِ فِي زَمَنِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَنُخَيِّرُ أَبَا بَكْرٍ ثُمَّ عُمَرَ بْنَ الْخَطَّابِ ثُمَّ عُثْمَانَ بْنَ عَفَّانَ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُمْ

Makudnya: “Adalah kami (yakni para Sahabat) mengatur manusia yang paling baik di zaman Rasulullah s.a.w maka kami letakkan yang paling baik adalah Abu Bakar kemudian Umar kemudian Usman bin Affan radiallahu’anhum”. [al-Bukhari & Muslim].

Juga berdalikan sabda Nabi s.a.w:

أبو بكر في الجنة و عمر في الجنة و عثمان في الجنة و علي في الجنة و طلحة في الجنة و الزبير في الجنة و عبد الرحمن بن عوف في الجنة و سعد في الجنة و سعيد في الجنة و أبو عبيدة بن الجراح في الجنة

Maksudnya: “Abu Bakar dalam syurga, Umar dalam syurga, Usman dalam syurga, Ali dalam syurga, Talhah dalam syurga, al-Zubair dalam syurga, Abdul Rahman bin Auf dalam syurga, Saad dalam syurga, Said dalam syurga, dan Abu Ubaidah bin al-Jarah dalam syurga”. [al-Tarmizi, sahih].

10 orang sahabat ini dinamakan al-Asyarah al-Mubasyarah bil Jannah (10 orang yang dijamin syurga) dan mereka adalah seafdal-afdal sahabat menurut turutan yang Nabi s.a.w aturkan.

Kemudian diikuti oleh Ahli Badar atas ijmak Sahabat memuliakan Ahli Badar dan hadis terdahulu yang menunjukkan Allah s.w.t mengampunkan Ahli Badar, kemudian Ahli Baiat al-Ridwan kemudian orang yang beriman dan berjihad sebelum Hudaibiah kemudian mereka yang beriman dan berjihad selepas Hudaibiah, kemudian golongan Muhajirin kemudian Ansar secara umum. [Syarah Tahawiah, Syeikh al-Fauzan, 203].

Sahabat Tidak Maksum:

Ahli Sunnah wal Jamaah hanya berkeyakinan Sahabat adalah afdal daripada manusia lain namun mereka tidak maksum bahkan ada antara mereka yang melakukan dosa besar seperti Maiz r.a yang berzina dan Hatib bin Abi Balta’ah r.a yang terdahulu sebutnya namun mereka semua diampunkan Allah s.w.t atas kelebihan yang besar yang mereka lakukan daripada Iman dan Jihad bersama Rasulullah s.a.w. Inilah yang dimaksudkan oleh Syeikh Tahawi bahawa kita tidak melampau dalam mencintai Sahabat bermakan kita tidak mengangkat sahabat lebih atas daripada darjat kemanusiaan seperti Syiah Rafidah yang menangkat Ali r.a sebagai Tuhan atau tempat masuknya roh Tuhan-nauzubillah min zalik-.

Kesimpulan:

Oleh itu, kita dapati Ahli Sunnah wal Jamaah adalah golongan yang paling adil dalam menilai para sahabat Nabi s.a.w bahkan mereka termasuk pengikut setia para Sahabat r.a.

Diharap risalah ini dapat membetulkan fahaman kita terhadap para Sahabat r.a terutama dalam keadaan negara kita Malaysia ini dilanda gelombang Tasyayyu’ (Syiah)-semoga Allah memusnahkan Rafidah- dan memupuk semangat mencontohi Sahabat dalam diri kita.

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: