KISAH AL-SYURA: VERSI SUNNAH vs VERSI SYIAH

OLEH : MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

Sejarah perlantikan Saidina Usman bin Affan r.a menjadi salah satu isu besar kaum Rafidah untuk menegakkan omong kosong mereka bahawa Saidina Ali r.a adalah khalifah yang sebenar dan para Sahabat yang lain telah mengkhianati beliau.

Kisah yang menjadi tunjang kepada tohmahan jahat mereka ini adalah sebagaimana yang masyhur dalam sejarah riwayat Abu Mikhnaf yang dikeluarkan Imam al-Tabari r.h dalam Tarikh beliau secara ringkasnya sebagai berikut:

  • Apabila Saidina Umar bin al-Khattab r.a ditikam, beliau telah diminta supaya melantik seorang pengganti untuk jawatan Khalifah. Beliau kemudian menyatakan jika Abu Ubaidah bin al-Jarrah r.a atau Salim Maula Huzaifah masih hidup maka beliau akan melantik salah seorang daripada mereka dengan mendahulukan Abu Ubaidah r.a.
  • Terdapat cadangan supaya beliau melantik Saidina Abdullah bin Umar r.a yakni anak beliau namun beliau enggan bahkan berpesan supaya jangan ada lagi Khalifah daripada keluarga Umar.
  • Umar r.a kemudian menyatakan bahawa beliau ingin sekali melantik seorang yang paling layak untuk memimpin ke arah kebenaran sambil menunjukkan kepada Saidina Ali r.a tetapi beliau tidak mahu memikul tanggungjawab jika melakukan kesalahan dalam meilih.
  • Kemudian Saidina Umar r.a menyerahkan tugas syura kepada 6 orang daripada 10 orang yang dijamin memasuki syurga yang masih berbaki iaitu: Saidina Usman bin Affan r.a, Saidina Ali r.a, Saidina Abdul Rahman bin Auf r.a, Saidina Saad bin Abil Waqqas r.a, Saidina Talhah r.a, Saidina al-Zubair r.a. Adapun Saidina Said bin Zaid r.a tidak dimasukkan kerana dia termasuk keluarga Umar r.a.
  • Kemudian Umar r.a melantik Abdullah bin Umar r.a anak beliau sebagai pemerhati, dan beliau menyatakan bahawa dia tidak melihat yang akan dipilih melainkan sama ada Usman atau Ali, jika Usman maka beliau seorang yang lemah lembut, jika Ali maka dialah yang paling layak memimbing ke arah kebenaran, dan jika terpilih pula Saad bin Abil Waqqas, maka dia seorang memang layak tetapi jika tidak maka hendaklah Khalifah yang terpilih melantik beliau sebagai Gabenor, adapun Abdul Rahman bin Auf, maka dia seorang yang mempunyai pandangan yang tepat.
  • Ibn Abbas r.a ketika mengetahui Ali r.a dilantik sebagai Ahli Syura maka beliau melarang Ali r.a menyertainya kerana takut berlaku pertikaian.
  • Abu Talhah al-Ansari r.a diberi autoriti sebagai pengawas keadaan sepanjang berlangsungnya Syura bersama dengan 50 Ansar yang dipilih beliau sebagai pembantu. Demikian juga al-Miqadad bin al-Aswad r.a, diberi tugas untuk menempatkan Ahli Syura selepas Umar r.a dikebumikan. Suhaib al-Rumi r.a pula dilantik sebagai pemangku Imam dalam Solat sehingga Khalifah baharu dilantik.
  • Umar r.a memerintahkan jika 5 orang bersepakat melantik seseorang dan enggan seorang lagi hendaklah dipancung yang enggan demikian juga jika bersepakat empat orang dan enggan dua orang dibunuh yang enggan. Jika sama antara yang bersepakat dengan yang enggan bersetuju maka jadikanlah Abdullah bin Umar sebagai pengadil dan jika tidak diterima maka diikuti pendapat Abdul Rahman bin Auf, jika masih enggan hendaklah dibunuh mereka yang masih enggan.
  • Kemudian Ali r.a berjumpa dengan Ibn Abbas r.a dan Ibn Abbas r.a memarahi Saidina Ali r.a kerana tidak mengikut nasihatnya. Ibn Abbas r.a menyatakan bahawa jika Ali menarik diri tentulah Umar r.a akan melantik Ali serta merta. Demikian juga Ali enggan mengikut nasihat Ibn Abbas supaya meminta Rasulullah s.a.w melantik Khalifah sebelum baginda wafat, dan setelah baginda wafat Ali juga enggan bersegera menyertai Syura Saqifah Bani Saidah. Ali r.a menyatakan kegelapan haranpannya untuk menduduki jawatan Khilafah kerana Usman dan Abdul Rahman bin Auf mempunyai ikatan kekeluargaan dan mereka akan saling membantu.
  • Setelah Umar r.a wafat, Ali dan Usman berebut untuk menjadi Imam Solat jenazah dan Abdul Rahman bin Auf memarahi keduanya kerana tamak akan jawatan lantas memerintahkan Suhaib menjadi Imam kerana beliau telah dilantik sebagai pemangku Imam  Solat.
  • Setelah jenazah dikebumikan maka berlangsunglah Syura di rumah Miswar bin Makhramah dan ada menyatakan di rumah Aisyah r.a dan ada menyatakan di rumah Baitul Mal. Mereka semuanya lima orang kerana Talhah r.a berada di luar Madinah (dalam Musafir) dan Amru bin al-As r.a dan al-Mughirah bin Syu’bah r.a datang mendengar perbincangan mereka tetapi dihalau oleh Saad bin Abil Waqqas.
  • Ahli Syura masing-masing berebut untuk mendapatkan jawatan tersebut sehingga Abdul Rahmann bin Auf menarik diri dan memohon persetujuan Ahli Majlis untuk beliau menjadi penentu siapakah Khalifah yang berhak. Saidina Ali r.a bersetuju dengan syarat beliau tidak akan melantik seseorang kerana kerabat dan tidak akan mengkhianati kaum Muslimin.
  • Abdul Rahman bin Auf melakukan tinjauan pendapat dan bertanya kepada Ali: Jika aku tidak melantikmu siapakah yang berhak? Jawab beliau: Usman. Apabila ditanya soalan kepada Usman, beliau menjawab: Ali. Namun, majoriti ketua-ketua kaum, ketua-ketua tentera, dan kaum Ansar dan Muhajirin yang diselidik semuanya menunjukkan persetujuan mereka terhadap Usman r.a.
  • Abdul Rahman bin Auf kemudian menebual Majli Syura dan bersembang rahsia dengan Ali sehingga beliau merasakan beliau lah yang akan dilantik Khalifah kemudian beliau berbincang rahsia pula dengan Usman sehingga subuh. Al-Miqdad bin Aswad dan Ammar bin Yasir bersetuju dengan perlantikan Ali r.a. Selepas solat Subuh, berlaku persidangan yang besar melibatkan Muhajirin dan Ansar sehingga berlaku pertikaman lidah antara Bani Umayyah dengan Bani Hashim.
  • Kemudian Abdul Rahman bin Auf memanggil Ali dan berkata: ‘Atas kamu melaksanakan perintah Allah sesuai dengan KitabNya dan Sunnah NabiNya serta sirah dua khalifah sebelum mu’. Jawab Ali: Aku akan laksanakan sekadar kemampuan ku. Kemudian dipanggil Usman bin Affan dan dinyatakan perkara yang sama lalu Usman menerimanya tanpa sebarang pengecualian bahkan berkata: Ya. Lalu dibaitlah Usman bin Affan r.a.
  • Lantas itu, Saidina Ali r.a menjadi marah dan berkata: Ini bukan kali pertama kamu mengkhianati kami (Ahli Bait). Abdul Rahman bin Auf menenangkan Ali dan mengingatkan beliau jangan menimbulkan fitnah kerana Usman dipilih kesemua kaum Quraish. Al-Miqdad bin al-Aswad r.a pula ingin memberontak kerana tetap menyokong Ali r.a.
  • Ali kemudian membait juga Usman r.a setelah melihat semua orang membaiat beliau dengan rela. [Rujuk: Tarikh al-Tabari, Peristiwa Tahun 23 Hijrah, Kisah al-Syura, Marwiyat Abi Mikhaf, m.s 160-171, al-Hiqbah min al-Tarikh, m.s 111-115].

Demikianlah ringkasan kisah Abu Mikhnaf terhadap periatiwa al-Syura ini dan dapat diperhatikan dalam kisah ini beberapa perkara berikut:

–          Secara dasarnya Saidina Umar r.a mengakui Ali r.a yang paling berhak dan perkara ini diketahui oleh semua Ahli Majlis Syura. Namun, Umar r.a tidak mahu melantik terus Ali kerana takut timbul rasa tidak puas hati.

–          Bani Hashim yang diketuai Ali r.a dan Ibn Abbas r.a telah mencium bau pengkhianatan ke atas mereka dan kurangnya peluang mereka mendapat jawatan Khalifah.

–          Perlantikan Usman r.a pada dasarnya tidak disetujui Bani Hashim bahkan semuanya berlaku kerana pengaruh Bani Umayyah .

–          Umar bin al-Khattab r.a menghalalkan darah para Sahabat ridwanullahi alaihim.

–          Para Sahabat ridwanullahi alaihim adalah kaum yang tamakkan jawatan.

Kesemua ini adalah tohmahan dan tuduhan yang sangat jelek kepada para Sahabat secara halus dan kesannya sangat berbahaya kepada Akidah. Inilah yang dinamakan gerakan mensyiah tanpa sedar yang telah dijalankan semenjak zaman dahulu lagi.

Abu Mikhnaf, empunya kisah ini bernama Lut binYahya al-Kufi merupakan seorang yang daif dan ditinggalkan riwayatnya sebagaimana yang dinyatakan al-Zahabi dalam Siyar [Siyar A’lam al-Nubala’, 7/302]. Dia ini juga merupakan seorang Syiah Imamiah yang sangat taksub dengan mazhabnya dan merupakan Ahli Sejarah Syiah yang terkemuka sehingga riwayat-riwayatnya perlu dijauhi kerana terkenal dalam menyokong Syiah [Rujuk: Rijal al-Najasyi, m.s 320].

Kepalsuan kisah Abu Mikhnaf ini amat jelas sekali jika kita bandingkan kisah al-Syura ini sebagaimana yang diriwayatkan dalam Kitab yang paling Sahih dalam alam ini selepas al-Qur’an iaitulah Sahih al-Bukhari. Imam al-Bukhari r.h telah meriwayatkan kisah al-Syura ini dengan sanad yang sahih dan sebaik-baik penceritaan:

عن عمرو بن ميمون قال: رأيت عمر بن الخطاب رضي الله عنه قبل أن يصاب بأيام المدينة وقف على حذيفة بن اليمان وعثمان بن حنيف قال كيف فعلتما أتخافان أن تكونا قد حملتما الأرض ما لا تطيق ؟ قالا حملناها أمرا هي له مطيقة ما فيها كبير فضل . قال انظر أن تكونا حملتما الأرض ما لا تطيق قال قالا لا فقال عمر لئن سلمني الله لأدعن أرامل أهل العراق لا يحتجن إلى رجل بعدي أبدا قال فما أتت عليه إلا رابعة حتى أصيب قال إني لقائم ما بيني وبينه إلا عبد الله بن عباس غداة أصيب وكان إذ مر بين الصفين قال استووا حتى إذا لم ير فيهم خللا تقدم فكبر وربما قرأ سورة يوسف أو النحل أو نحو ذلك في الركعة الأولى حتى يجتمع الناس فما هو إلا أن كبر فسمعته يقول قتلني – أو أكلني – الكلب حين طعنه فطار العلج بسكين ذات طرفين لا يمر على أحد يمينا ولا شمالا إلا طعنه حتى طعن ثلاثة عشر رجلا مات منهم سبعة فلما رأى ذلك رجل من المسلمين طرح عليه برنسا فلما ظن العلج أنه مأخوذ نحر نفسه وتناول عمر يد عبد الرحمن بن عوف فقدمه فمن يلي عمر فقد رأى الذي أرى وأما نواحي المسجد فإنهم لا يدرون غير أنهم قد فقدوا صوت عمر وهم يقولون سبحان الله سبحان الله فصلى بهم عبد الرحمن صلاة خفيفة فلما انصرفوا قال يا ابن عباس انظر من قتلني فجال ساعة ثم جاء فقال غلام المغيرة قال الصنع ؟ قال نعم قال قاتله الله لقد أمرت به معروفا الحمد لله الذي لم يجعل ميتتي بيد رجل يدعي الإسلام قد كنت أنت وأبوك تحبان أن تكثر العلوج بالمدينة – وكان العباس أكثرهم رقيقا – فقال إن شئت فعلت أي إن شئت قتلنا ؟ قال كذبت بعد ما تكلموا بلسانكم وصلوا قبلتكم وحجوا حجكم . فاحتمل إلى بيته فانطلقنا معه وكأن الناس لم تصبهم مصيبة قبل يومئذ فقائل يقول لا بأس وقائل يقول أخاف عليه فأتي بنبيذ فشربه فخرج من جوفه ثم أتي بلبن فشربه فخرج من جرحه فعلموا أنه ميت فدخلنا عليه وجاء الناس فجعلوا يثنون عليه وجاء رجل شاب فقال أبشر يا أمير المؤمنين ببشرى الله لك من صحبة رسول الله صلى الله عليه و سلم وقدم في الإسلام ما قد علمت ثم وليت فعدلت ثم شهادة . قال وددت أن ذلك كفاف لا علي ولا لي فلما أدبر إذا إزاره يمس الأرض قال ردوا علي الغلام قال ابن أخي ارفع ثوبك فإنه أنقى لثوبك وأتقى لربك . يا عبد الله بن عمر انظر ما علي من الدين فحسبوه فوجدوه ستة وثمانين ألفا أو نحوه قال إن وفى له مال آل عمر فأده من أموالهم وإلا فسل في بني عدي بن كعب فإن لم تف أموالهم فسل في قريش ولا تعدهم إلى غيرهم فأد عني هذا المال . انطلق إلى عائشة أم المؤمنين فقل يقرأ عليك عمر السلام ولا تقل أمير المؤمنين فإني لست اليوم للمؤمنين أميرا وقل يستأذن عمر بن الخطاب أن يدفن مع صاحبيه . فسلم واستأذن ثم دخل عليها فوجدها قاعدة تبكي فقال يقرأ عليك عمر ابن الخطاب السلام ويستأذن أن يدفن مع صاحبيه . فقالت كنت أريده لنفسي ولأوثرن به اليوم على نفسي فلما أقبل قيل هذا عبد الله بن عمر قد جاء قال ارفعوني فأسنده رجل إليه فقال ما لديك ؟ قال الذي تحب يا أمير المؤمنين أذنت قال الحمد لله ما كان من شيء أهم إلي من ذلك فإذا أنا قضيت فاحملوني ثم سلم فقل يستأذن عمر بن الخطاب فإن أذنت لي فادخلوني وإن ردتني ردوني إلى مقابر المسلمين . وجاءت أم المؤمنين حفصة والنساء تسير معها فلما رأيناها قمنا فولجت عليه فبكت عنده ساعة واستأذن الرجال فولجت داخلا لهم فسمعنا بكاءها من الداخل فقالوا أوص يا أمير المؤمنين استخلف قال ما أجد أحدا أحق بهذا الأمر من هؤلاء النفر أو الرهط الذين توفي رسول الله صلى الله عليه و سلم وهو عنهم راض فسمى عليا وعثمان والزبير وطلحة وسعدا وعبد الرحمن وقال يشهدكم عبد الله بن عمر وليس له من الأمر شيء – كهيئة التعزية له – فإن أصابت الإمرة سعدا فهو ذاك وإلا فليستعن به أيكم ما أمر فإني لم أعزله عن عجز ولا خيانة وقال أوصي الخليفة من بعدي بالمهاجرين الأولين أن يعرف لهم حقهم ويحفظ لهم حرمتهم وأوصيه بالأنصار خيرا الذين تبوؤوا الدار والإيمان من قبلهم أن يقبل من محسنهم وأن يعفى عن مسيئهم وأوصيه بأهل الأمصار خيرا فإنهم ردء الإسلام وجباة المال وغيظ العدو وأن لا يؤخذ منهم إلا فضلهم عن رضاهم . وأوصيه بالأعراب خيرا فإنهم أصل العرب ومادة الإسلام أن يؤخذ من حواشي أموالهم ويرد على فقرائهم وأصيه بذمة الله تعالى وذمة رسوله صلى الله عليه و سلم أن يوفى لهم بعهدهم وأن يقاتل من ورائهم ولا يكلفوا إلا طاقتهم فلما قبض خرجنا به فانطلقنا نمشي فسلم عبد الله بن عمر قال يستأذن عمر بن الخطاب قالت أدخلوه فأدخل فوضع هنالك مع صاحبيه فلما فرغ من دفنه اجتمع هؤلاء الرهط فقال عبد الرحمن اجعلوا أمركم إلى ثلاثة منكم فقال الزبير قد جعلت أمري إلى علي فقال طلحة قد جعلت أمري إلى عثمان وقال سعد قد جعلت أمري إلى عبد الرحمن بن عوف . فقال عبد الرحمن أيكما تبرأ من هذا الأمر فنجعله إليه والله عليه والإسلام لينظرن أفضلهم في نفسه ؟ فأسكت الشيخان فقال عبد الرحمن أفتجعلونه إلى الله علي أن لا آلو عن أفضلكم ؟ قالا نعم فأخذ بيد أحدهما فقال لك قرابة من رسول الله صلى الله عليه و سلم والقدم في الإسلام ما قد علمت فالله عليك لئن أمرتك لتعدلن ولئن أمرت عثمان لتسمعن ولتطيعن ثم خلا بالآخر فقال له مثل ذلك فلما أخذ الميثاق قال ارفع يدك يا عثمان فبايعه فبايع له علي وولج أهل الدار فبايعوه

Maksudnya: Daripada Amru bin Maimun kata beliau: Aku melihat Umar bin al-Khattab r.a di Madinah beberapa hari sebelum dia ditikam, beliau berdiri bersama Huzaifah bin al-Yaman dan Usman bin Hanif seraya berkata: Bagaimana kamu berdua telah laksanakan, adakah kamu takut kamu membebankan penduduk bumi (maksud beliau penduduk Iraq kerana beliau mengutus keduanya untuk mengutip Kharaj di sana) di luar kemampuan mereka? Jawab mereka: Kami telah perintahkan mereka dengan bebanan yang mereka mampu dan tiada apa-apa tambahan yang banyak. Umar berkata: Periksalah jika kamu ada membebankan mereka dengan sesuatu di luar kemampuan mereka. Jawab keduanya: Tidak ada. Kata Umar r.a: Jika Allah menyelamatkan aku (memanjangkan umurku) aku akan pastikan tiada lagi janda-janda Iraq yang memerlukan lelaki (tidak lagi perlu berkahwin semula) setelahku (setelah kewafatanku) selama-lamanya. Berkata Amru: Namun, tidak masuk hari keempat setelah itu melainkan beliau telah dibunuh. Kata Amru lagi: Aku berdiri dan tiada antara aku dan beliau (Umar) melainkan Abdullah bin al-Abbas r.a pada subuh hari beliau dibunuh, ketika dia memeriksa saf sambil berkata: ‘Samakan (Saf)’, sehingga pasti tiada lagi kepincangan beliau mara kehadapan dan bertakbir (memulakan solat). Beliau membaca Surah Yususf atau surah al-Nahl atau yang seumpamanya dalam rakaat pertama supaya manusia dapat berkumpul (sempat bersama Imam dalam rakaat pertama) dan sebelum sempat beliau bertakbir (untuk rukuk) aku mendengar beliau menjerit: ‘Seekor anjing telah membunuhku (atau menggigitku)!’, ketika itulah si hamba farsi (Abu Lu’Luah) menikam beliau dan melarikan diri dengan pisau yang mempunyai dua mata sambil menikan orang yang berada di kiri dan kanannya sehingga yang ditikamnya berjumlah 13 orang dan 7 daripada mereka terbunuh. Apabila melihat keadaan itu, seorang lelaki telah mencekup si hamba farsi dengan kain tutup kepalanya sehingga si hamba farsi tadi merasakan dirinya telah tertawan dia lalu membunuh diri. Umar r.a menarik tangan Abdul Rahman bin Auf menggantikan beliau sebagai Imam, mereka yang berada berdekatan Umar r.a melihat kejadian yang berlaku adapun mereka yang berada di sisi masjid tidak mengetahuinya, hanya mereka tidak kedengaran suara Umar dan terus menyebut: Subhanallah!Subhanallah!. Abdul Rahman bin Auf mengimamkan mereka dengan solat yang sederhana dan setelah mereka selesai Umar bertanya: Wahai Ibn Abbas, siapakah yang membunuhku? Ibn Abbas r.a kemudiannya pergi melihat pembunuh tersebut lalu memberitahu Umar: Hamba al-Mughirah. Kata Umar: Si Tukang itukah? Jawab Ibn Abbas: Ya. Kata Umar: Semoga Allah membunuhnya, aku telah melakukan kebaikan kepadanya, Alhamdulillah (segala puji bagi Allah) yang tidak menjadikan kematianku di tangan seorang yang mengaku Islam, adalah kamu (Ibn Abbas r.a) dan bapamu suka meramaikan Uluj (hamba sahaya bukan arab yang kafir) di Madinah-ini kerana al-Abbas r.a adalah antara orang terbanyak memiliki hamba- Kata Ibn Abbas r.a: Jika kamu mahu aku akan lakukan yakni jika kamu mahu kami akan membunuh mereka semua. Jawab Umar r.a: Engkau salah, apakah masih hendak dibunuh mereka setelah mereka bercakap dengan  lisan kamu (mengucap dua kalimah Syahadah), bersolat ke kiblat kamu, dan melaksanakn haji (maka tidak boleh lagi membunuh mereka tanpa hak).Kemudian mereka membawa beliau pulang ke rumahnya dan kami juga mengikutnya. Adalah manusia pada hari itu (amat sedih) seolah-olah mereka tidak pernah mendapat musibah sebelumnya, ada yang berkata: Tiada apa-apa, ada yang berkata: Aku takut beliau akan mati. Dibawa kepada Umar r.a nabiz lalu beliau meminumnya dan mengalir keluar di perutnya (tempat yang ditikam), diberi pula susu dan beliau meminumnya lalu keluar dari perutnya lalu mereka pun tahulah bahawa Umar r.a akan meninggal dunia (kerana seriusnya kecederaan beliau). Maka kami pun masuk bertemu dengan beliau dan manusia mula datang memberikan pujian ke atas beliau (sebagai tanda mengenang jasa pemerintahan beliau) dan datang seorang pemuda berkata: “bergembiralah wahai Amirul Mukminin dengan khabar gembira dari Allah kepada kamu dengan persahabatn kamu dengan Rasulullah s.a.w dan keutamaan dalam Islam sebagaimana yang telah engkau ketahui, kemudian engkau dilantik menjadi Khalifah dan berlaku adil kemudian syahadah (syahid)”. Jawab Umar r.a: Aku sangat berharap semuanya itu cukup baginya, aku reda dengan saksama. Apabila pemuda itu berpaling, kainnya mencecah bumi (isbal) seraya berkata Umar: ‘Panggil kembali pemuda itu’. Kata Umar r.a: ‘Wahai anak saudaraku, angkatlah kainmu kerana itu lebih bersih dan lebih takwa’. Kemudian beliau berkata: ‘Wahai Abdullah bin Umar (anak beliau), berapakah hutangku?’ Mereka kemudian mengiranya dan mendapati jumlah keseluruhan adalah 86000 lebih kurang. Kata Umar r.a: ‘Jika harta keluarga Umar cukup maka bayarlah, jika tidak mencukupi maka mintalah batuan Bani Adi bin Kaab (Umar r.a adalah daripada Bani Adi) dan jika tidak cukup juga maka mintalah pertolongan Quraish dan jangan diminta selepas mereka kepada orang lain, tunaikanlah hutang-hutang itu bagi pihakku. Pergi kau kepada Ummul Mukminin Aisyah r.a dan kata kepadanya: Umar mengirim salam dan jangan kamu sebut Amirul Mukminin kerana aku bukan lagi ketua kaum muslimin pada hari ini, dan beritahu kepadanya Umar bin al-Khattab meminta izin untuk disemadikan bersama dua Sahabatnya (Rasulullah dan Abu Bakar)’. Lalu Abdullah bin Umar pergi memberi salam (kepada Aisyah r.a) dan meminta izin masuk dan mendapati Aisyah sedang duduk menangis. Ibn Umar r.a berkata: ‘Umar bin al-Khattab mengirim salam dan meminta izin untuk disemadikan bersama dua sahabatnya’. Berkata Aisyah r.a: ‘Aku sebenarnya ingin disemadikan ditempat tersebut tetapi tidak mengapa aku akan undurkan diri pada hari ini’. Apabila Abdullah bin Umar r.a pulang diberitahu kepada Umar r.a bahawa Abdullah bin Umar r.a telah pulang lantas Umar berkata: ‘Angkatkan aku’, lalu seorang lelaki memangku beliau. Kata Umar: ‘Berita apa yang kamu bawa?’ Jawab Ibn Umar r.a: ‘Berita yang kamu sukai, kamu telah diizinkan (untuk disemadikan bersama Rasulullah s.a.w dan Abu Bakar r.a)’. Kata Umar r.a: ‘Alhamdulillah, inilah perkara yang paling penting sekali, maka apabila aku telah wafat (dan selesai semua upacara) maka bawalah aku ke sana dan berilah salam dan katalah: Umar bin al-Khattab meminta izin, jika dia (Aisyah r.a) izinkan maka masuklah dan jika dia menolak maka bawalah aku ke perkuburan kaum muslimin’. Kemudian datang Ummul Mukminin Hafsah r.a bersama-sama dengan kaum wanita lainnya, apabila kami melihat beliau maka kami pun berdiri (beredar) dan beliau masuk menemui Umar (ayahandanya) dan menangis di sisi beliau. Kemudian kaum lelaki memohon untuk masuk, lantas beliau (Hafsah) masuk ke dalam dan kami mendengar tangisan beliau dari dalam. Lalu kaum lelaki berkata: ‘Berwasiatlah wahai Amirul Mukminin, lantiklah penggantimu’. Jawab beliau: ‘Aku tidak melihat ada sesiapa yang lebih berhak selain daripada enam orang ini yang Rasulullah wafat dalam keadaan baginda meredai mereka’, lalu beliau menamkan Ali, Usman, al-Zubair, Talhah, Saad (bin Abi Waqqas), dan Abdul Rahman (bin Auf), dan berkata: ‘Abdullah bin Umar akan menjadi saksi (pemerhati) antara kamu tetapi dia tidak berhak dalam urusan ini (untuk dilantik sebagai Khalifah)-seolah-olah sebagai takziah kepada beliau- dan jika jawatan itu kena pada Saad maka dia memang layak dan jika tidak maka gunakanlah dia oleh kamu (yang menjadi Khalifah) dalam urusan apa yang kamu hendak kerana aku tidak memecat beliau kerana lemah atau khianat’.

Kemudian Umar r.a berkata: ‘Aku berwasiat kepada Khalifah selepasku supaya menjaga kaum Muhajarin yang Utama, hendaklah dia mengenal hak mereka dan menjaga kehormatan mereka, dan aku berwasiat supaya berbuat baik kepada kaum Ansar yang telah menyediakan negeri dan Iman sebelum mereka supaya dia menerima kebaikan mereka dan memaafkan kesalahan mereka dan aku berwasiat supaya dia  menjaga penduduk Amsar (bandar-bandar utama kerajaan) kerana mereka adalah pembela Islam dan pengumpul harta (sumber ekonomi) dan penggerun musuh, janganlah diambil daripada mereka kecuali lebihan harta mereka dengan reda mereka, dan aku berwasiat supaya dia menjaga Arab Badwi kerana mereka adalah asal Arab dan medium Islam, aku berwasiat supaya hanya diambil dari lebihan harta mereka untuk dibahagikan kepada kaum mereka yang faqir, dan aku berwasiat dengan perjanjian Allah dan RasulNya s.a.w supaya dia menyempurnakan janji kepada mereka dan berperang bersama mereka serta jangan dibebankan melebihi kemampuan mereka’.

Apabila Umar r.a telah wafat kami pun (setelah selesai semua upacara pengurusan jenazah) membawa jenazah beliau keluar (ke rumah Aisyah r.a) dan Abdullah bin Umar r.a memberikan salam dan berkata: ‘Umar bin al-Khattab meminta izin’, kata Aisyah r.a: ‘Bawalah dia masuk’, lalu mereka membawa jenazah beliau masuk dan disemadikan bersama dua sahabat beliau. Setelah selesai upacara pengebumian, berkumpul lah enam orang tersebut lalu berkata Abdul Rahman bin Auf: ‘Serahkanlah urusan kamu kepada tiga orang (supaya lebih kecil calonnya)’. Lantas al-Zubair berkata: ‘Aku serahkan urusanku kepada Ali’. Berkata Talhah: ‘Aku serahkan urusanku kepada Usman’. Berkata Saad: ‘Aku serahkan kepada Abdul Rahman bin Auf’. Abdul Rahman bin Auf r.a berkata pula: ‘Siapakah antara kamu berdua (Usman dan Ali) yang hendak menarik diri lalu kami biarkan Allah dan Islam menjadi penjaganya untuk dia memikirkan siapakah yang lebih berhak (menjawat jawatan Khalifah)?’ Lalu keduanya berdiam diri dan berkata Abdul Rahman: ‘Adakah kamu hendak jadikannya kepada aku (yakni sebagai pemilih), Allah menjadi saksiku bahawa aku tidak akan berlaku khianat terhadap yang paling layak antara kamu semua?’ Kata keduanya: ‘Ya’. Lalu Abdul Rahman memegang tangan salah seorang mereka (yakni Ali r.a) seraya berkata: ‘Engkau mempunyai kekeluargaan dengan Rasulullah s.a.w dan keutamaan dalam Islam seperti yang engkau ketahui, maka jika aku melantikmu (sebagai Khalifah) demi Allah, hendaklah kamu berlaku adil dan jika aku melantik Usman maka hendaklah kamu mendengar dan taat’. Kemudian dia melakukannya dengan seorang lagi (Usman) dan setelah diambil perjanjian daripada keduanya berkata Abdul Rahman: ‘Angkatlah tanganmu wahai Usman!’ lantas beliau membaiatnya diikuti Saidina Ali dan kemudiannya seluruh Ahli yang ada. [Sahih al-Bukhari, hadis no. 3497, Kitab Fadail al-Sahabah, Bab Kisah al-Baiah dan Persetujuan atas Usman, cet. Dar Ibn Kasir, 1407b H-1987M].

Dalam riwayat al-Miswar bin Makhramah yang juga dikeluarkan al-Bukhari mempunya perincian lagi:

عن الزهري أن حميد بن عبد الرحمن أخبره أن المسور بن مخرمة أخبره أن الرهط الذين ولاهم عمر اجتمعوا فتشاوروا فقال لهم عبد الرحمن لست بالذي أنافسكم على هذا الأمر ولكنكم إن شئتم اخترت لكم منكم فجعلوا ذلك إلى عبد الرحمن فلما ولوا عبد الرحمن أمرهم فمال الناس على عبد الرحمن حتى ما أرى أحدا من الناس يتبع أولئك الرهط ولا يطأ عقبه ومال الناس على عبد الرحمن يشاورونه تلك الليالي حتى إذا كانت الليلة التي أصبحنا منها فبايعنا عثمان قال المسور طرقني عبد الرحمن بعد هجع من الليل فضرب الباب حتى استيقظت فقال أراك نائما فوالله ما اكتحلت هذه الثلاث بكبير نوم انطلق فادعوا الزبير وسعدا فدعوتهما له فشاورهما ثم دعاني فقال ادع لي عليا فدعوته فناجاه حتى ابهار الليل ثم قام علي من عنده وهو على طمع وقد كان عبد الرحمن يخشى من علي شيئا ثم قال ادع لي عثمان فدعوته فناجاه حتى فرق بينهما المؤذن بالصبح فلما صلى للناس الصبح واجتمع أولئك الرهط عند المنبر فأرسل إلى من كان حاضرا من المهاجرين والأنصار وأرسل إلى أمراء الأجناد وكانوا وافوا تلك الحجة مع عمر فلما اجتمعوا تشهد عبد الرحمن ثم قال أما بعد يا علي إني قد نظرت في أمر الناس فلم أرهم يعدلون بعثمان فلا تجعلن على نفسك سبيلا . فقال أبايعك على سنة الله ورسوله والخليفتين من بعده فبايعه عبد الرحمن وبايعه الناس المهاجرون والأنصار وأمراء الأجناد والمسلمون

Maksudnya: “Daripada al-Zuhri bahawa Humaid bin Abdul Rahman memberitahunya al-Miswar bin Makhramah memberitahunya bahawa mereka yang dilantik Umar telah berkumpul dan bermesyuarat lalu berkata Abdul Rahman bin Auf r.a: ‘Aku tidak akan menyaingi kamu semua tetapi jika kamu mahu aku akan pilih calonnya bagi pihak kamu’. Lalu mereka menyerahkannya kepada Abdul Rahman bin Auf dan semenjak itu para manusia sentiasa mencari Abdul Rahman dan langsung tidak mempedulikan selain beliau (yakni lima orang yang berbali) dan sentiasalah manusia mencari Abdul Rahman, bermesyuarat dengan beliau pada malam-malam tersebut sehinggalah pada malam yang pada paginya kami membaiat Usman. Berkata al-Miswar: ‘Abdul Rahman telah mengejutkan aku di tengah malam lalu berkata: ‘Aku melihat kamu tidur sedangkan aku demi Allah tidaklah tidur dengan lama sepanjang tiga malam ini, maka pergilah kau panggilkan al-Zubair dan Saad’. Lalu aku memanggilm keduanya dan mereka bermesyuarat kemudian beliau memanggilku lagi dan menyuruhku memanggil Ali lalu aku memanggilnya dan mereka berbual berbisik-bisik sehingga pertengahan malam. Kemudian Ali r.a beredar dan beliau kelihatan mempunyai keinginan dalam jawatan tersebut dan Abdul Rahman agak takut dengan keadaan Ali r.a itu (kerana akan menimbulkan fitnah). Kemudian dia menyuruhku memanggil Usman lalu mereka berbual sehinggalah azan Subuh memisahkan mereka. Kemudian setelah beliau (Abdul Rahman) mengimamkan manusia dalam solat Subuh berkumpul lah semua Ahli Syura di sisi Minbar lalu beliau memanggil semua yang hadir daripada Muhajirin dan Ansar dan para pemimpin tentera (iaitulah Muawiyah r.a, Umar bin Saad r.a, al-Mughirah bin Syu’bah r.a, Abu Musa al-Asy’ari r.a, dan Amru bin al-As r.a) yang mana mereka itu menunaikan haji bersama Umar tahun itu (lalu mengikuti beliau pulang ke Madinah). Setelah semuanya berkumpul, Abdul Rahman bertasyahhud (memulakan ucapan) dan berkata: ‘Amma Ba’du, wahai Ali, aku telah mengumpulkan pandangan manusia dalam urusan mereka dan tiada seorang pun yang berpaling daripada Usman, maka jangalah engkau buka jalan kejahatan pada dirimu (dengan tidak bersetuju)’. Maka berkata Abdul Rahman: ‘Aku membaiatmu (yakni Usman) di atas Sunnah Allah dan Sunnah RasulNya dan dua Khalifah selepas baginda’. (lalu menjawab Usman r.a: Ya) lantas Abdul Rahman mebaiat beliau diikuti segala manusia daripada Muhajirin dan Ansar dan ketua-ketua tentera”. [Sahih al-Bukhari, Kitab al-Ahkam, Bab Bagaimana Manusia Membaiat Imam, hadis no. 6781].

Ini adalah kisah yang sahih menunjukkan bahawa perlantikan Usman bin al-Affan ridwanullahi alaih wa ‘ala Ashabi Rasulillahi ajmain adalah berlaku dengan sepakat Ahli al-Hilli wal Aqdi bukan sekadar Ahli Syura sahaja. Bahkan riwayat ini jelas menunjukkan bahawa Ali r.a adalah orang pertama yang membaiat Usman r.a selepas Abdul Rahman bin Auf r.a bukan orang terakhir dan tidak ada sebarang bantahan daripada Ali r.a terhadap perlantikan Usman r.a.

Berkenaan keinginan Ali r.a menjadi Khalifah dan ketakutan Abdul Rahman bin Auf terhadap Ali bermaksud Abdul Rahman bin Auf setelah berbicara dengan Ali r.a kelihatan seolah-olah Ali r.a berharap beliau lah yang akan dipilih maka Abdul Rahman r.a takut jika Ali r.a tersalah faham dan akan tersinggung jika ternyata nanti bukan beliau yang dipilih namun Alhamdulillah, Ali r.a menjadi orang pertama selepas Abdul Rahman membaiat Usman r.a. [Fathul Bari, 13/196].

Dalam kisah ini juga tiada langsung fakta bahawa Talhah r.a tidak hadir dalam Syura bahkan jelas beliau menghadirinya dan mengikuti perbincangan Syura tersebut. Demikian juga tiada kisah penentangan al-Miqdad bin al-Aswad r.a terhadap perlantikan Usman r.a atau pertikaman lidah antara Bani Umayyah dan Bani Hasyim atau perbualan rahsia antara Ali r.a dan Ibn Abbas r.a.

Bahkan tuduhan kononnya Usman r.a dan Abdul Rahman bin Auf r.a mempunyai hubungan kekeluargaan (secara persemendaan) adalah dakwaan yang tidak benar dan tidak berasas, tiada dijumpai dalam mana-mana riwayat selain riwayat Abu Mikhnaf ini berkenaannya bahkan Abdul Rahman bin Auf r.a lebih hampir kepada Ali r.a kerana beliau daripada Bani Zuhrah iaitu keluarga Ibu Nabi s.a.w maka mereka lebih hampir dengan Bani Hasyim daripada Bani Umayyah, keluarga Usman r.a.[Rujuk penjelasan-penjelasan ini dalam: Marwiyat Abi Mikhnaf, m.s 173-179].

Begitu juga kisah ini tidak menyatakan sama sekali yang Umar r.a memerintahkan Suhaib r.a membunuh para Sahabat yang menjadi Ahli Syura jika mereka berselisih dalam menentukan calon dan tidak kami jumpai riwayat yang dipercayai Umar r.a memerintahkan Suhaib r.a membunuh sesiapa jua dalam peristiwa Syura ini.

Adapun riwayat Ibn Saad dalam Tabaqat beliau [3/342] yang disahihkan oleh Syeikh Yahya al-Yahya dalam Marwiayt Abi Mikhnaf [m.s 176] yang menunjukkan bahawa Umar r.a memerintahkan Suhaib r.a menjadi Imam selama 3 hari dan membunuh mereka yang membantah keputusan Majlis Syura bukan Ahli Majlis Syura, kisah ini juga daif kerana perawinya Ubaidillah bin Musa seorang Syiah Rafidi Siqah tetapi telah menyatakan dalam riwayatnya ini bahawa Umar r.a berkata: ‘Jika mereka melantik  si Ajlah (Ali r.a) maka mereka melalui jalan yang benar’, ini jelas merupakan satu unsur Syiah yang menegakkan bahawa Umar r.a sebenarnya telah melantik Ali r.a dan perawi yang siqah tetapi bidaah tidak diterima riwayatnya yang menyeru kepada bidaahnya.

Dalam riwayat al-Bukhari juga telah jelas bahawa Abdul Rahman bin Auf r.a menjadi Imam semenjak Umar r.a ditikam lagi pada waktu Subuh tersebut demikian juga pada Subuh perlantikan Usman r.a dengan jelas menyatakan yang menjadi Imam adalah Abdul Rahman bin Auf r.a. Maka jelas di sini pemangku Khalifah sepanjang 3 hari Syura adalah Abdul Rahman bin Auf r.a bukan Suhaib al-Rumi r.a kerana Umar r.a tidak akan melanggar sabda Nabi s.a.w: ‘Imam (pemimpin) itu daripada Quraish’.

Khilafah Usman bin Affan r.a adalah sesuatu yang telah dijangka sebagaimana dalam beberapa riwayat  yang sahih:

عن حذيفة رضي الله عنه قال: سألني عمر رضي الله عنه: من ترى قومك مؤمرين بعدي ؟ قلت: رأيت الناس قد أسندوا أمرهم إلى عثمان رضي الله عنه.

Maksudnya: “Daripada Huzaifah bin al-Yaman r.a kata beliau: Umar r.a telah bertanya kepadaku: Siapakah yang kau lihat akan dilantik oleh kaummu selepasku? Jawabku: Aku melihat manusia telah menyerahkan urusan mereka kepada Usman r.a”. [Tarikh al-Madinah, Ibn Syabbah, 3/932, hadis Sahih].

عن خارجة بن مضرب قال: حججت مع عمر رضي الله عنه فسمعت الحادي يحدو: إن الامير بعده ابن عفان. وسمعت الحادي في إمارة عثمان: إن الامير بعده علي – رضي الله عنه.

Maksudnya: “Daripada Kharijah bin Mudrib katanya: Aku menunaikan Haji bersama Umar r.a lalu aku mendengar seorang behuda (melantunkan Syair): ‘Sesungguhnya pemimpin selepas beliau adalah Ibn Affan’ dan aku mendengar seorang berhuda semasa pemerintahan Usman: ‘Sesungguhnya Amir (pemimpin) selepas beliau adalah Ali r.a’.” [Tarikh al-Madinah, 3/932-933].

Riwayat-riwayat ini menunjukkan bahawa memang para manusia telah merasakan bahawa yang paling layak menjadi Khalifah selepas Umar bin al-Khattab r.a adalah Usman bin Affan r.a, tidak lainnya dan inilah yang berlaku sesuai dengan kesepakatan seluruh al-Muhajirin dan al-Ansar.

Demikian juga telah sabit dalam Sabda Nabi s.a.w mengisyaratkan kepada perlantikan Usman r.a selepas Umar r.a antaranya:

عن أبي موسى رضي الله عنه : أن النبي صلى الله عليه و سلم دخل حائطا وأمرني بحفظ باب الحائط فجاء رجل يستأذن فقال ( ائذن له وبشره بالجنة ) . فإذا أبو بكر ثم جاء آخر يستأذن فقال ( ائذن له وبشره بالجنة ) . فإذا عمر ثم جاء آخر يستأذن فسكت هنيهة ثم قال ( ائذن له وبشره بالجنة على بلوى ستصيبه ) . فإذا عثمان بن عفان

Maksudnya: “Daripada Abu Musa r.a bahawa Nabi s.a.w memasuki sebuah tembok dan menyuruhku menjaga pintu. Lalu datang seorang lelaki meminta izin masuk maka baginda bersada: ‘Izinkan dia dan beritahu kepadanya khabar gembira dengan syurga (yakni dia termasuk ahli syurga)’. Maka aku dapati orang tersebut Abu Bakar kemudian datang pula seorang lagi meminta izin masuk dan baginda bersabda: ‘Izinkan dia dan berikan khabar gembira dengan syurga’. Maka aku dapati dia adalah Umar kemudian datang pula seorang lagi meminta izin lalu Nabi s.a.w terdiam sebentar seraya bersabda: ‘Izinkan dia dan berikanlah khabar gembira padanya dengan balasan syurga atas musibah yang akan menimpanya’. Maka aku dapati beliau adalah Usman bin Affan”. [al-Bukhari]

Nabi s.a.w dalam hadis ini telah memberitahu kepada Usman bin Affan r.a bahawa beliau akan ditimpa satu musibah dan telah maklum musibah itu adalah al-Fitnah al-Kubra ketika kaum Syiah memberontak dan membunuh beliau secara zalim sehingga beliau syahid. Maka ini secara jelas menunjukkan bahawa beliau akan menjadi Khalifah.

Hadis Ibn Umar r.a kata beliau:

كنا في زمن النبي صلى الله عليه و سلم لا نعدل بأبي بكر أحدا ثم عمر ثم عثمان ثم نترك أصحاب النبي صلى الله عليه و سلم لا نفاضل بينهم

Maksudnya: “Adalah kami (para Sahabat) di zaman Nabi s.a.w tidak akan menyamakan sesiapa pun dengan Abu Bakar kemudian Umar kemudian Usman kemudian kami biarkan sahabat-sahabat Nabi s.a.w kami tidak melebihkan antara seorang mereka dengan seorang yang lain”. [al-Bukhari].

Hadis ini jelas menyatakan bahawa seafdal-afdal Sahabat selepas Umar bin al-Khattab r.a adalah Usman bin Affan r.a maka secara automatis difahami selepas Umar r.a yang paling layak menjadi Khalifah adalah Usman bin Affan r.a. Inilah yang menyebabkan seluruh kaum Muhajirin dan Ansar bersepakat bahawa Khalifah yang berhak apabila ditanya kepada mereka Abdul Rahman bin Auf r.a semuanya menjawab Usman r.a.

Hasil daripada perbandingan antara dua riwayat berkenaan Kisah al-Syura atau Kisah al-Baiah ini, kita dapati bahawa perlantikan Saidina Usman bin Affan r.a sebagai Khalifah adalah atas persetujuan semua Ahli Syura dan Ahli al-Hilli wal Aqdi  dan seluruh kaum Muhajirin dan Ansar yang berada di Madinah.

Perlantikan Usman r.a ini dilakukan atas kelayakan beliau untuk jawatan tersebut dan tiada sebarang pengaruh atau unsur-unsur jahat di sebalik perlantikan beliau bahkan perlantikan beliau ini telah pun diisyaratkan oleh Rasulullah s.a.w sendiri semasa hayat baginda sebagaimana baginda mengisyaratkan perlantikan Abu Bakar al-Siddiq r.a dan Umar al-Faruq r.a.

Riwayat-riwayat yang menunjukkan Saidina Ali bin Abi Talib r.a seolah-olah tidak berpuas hati dengan perlantikan Usman r.a adalah riwayat-riwayat kaum Rafidah yang tidak boleh dipercayai sama sekali kerana tidak diterima riwayat Ahli Bidaah yang menyeru kepada bidaahnya jika dia seorang siqah maka bagaimana mungkin kita boleh mengambil riwayat Ahli Bidaah yang dihukum daif dan matruk?! Sejarah Islam diriwayatkan dengan bersanad dan tidak lain tidak bukan adalah supaya ia diterima sesuai dengan ilmu hadis.

Jika hadis-hadis Nabi s.a.w bahkan al-Quran sendiri pun perlu diterima dengan sanad yang sahih, apatah lagi sejarah berkenaan orang yang tidak maksum. Maka mereka yang masih enggan menilai ilmu sejarah dengan ilmu hadis perlu bermuhasabah diri mereka dan bersegera membersihkan karangan-karangan sejarah mereka daripada tuduhan dan tohmahan keji terhadap para Sahabat ridwanullahi alaihim yang hanya akan mencemarkan Islam itu sendiri. Wallahua’lam.

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: