PEMBETULAN ATAS ARTIKEL: “BENARKAH SAHABAT BERSENGKETA?”

Menjadi kewajipan atas sesiapa sahaja untuk mengikuti kebenaran dan membetulkan kesalahan sebagaimana kata Imam Malik bin Anas r.h:

“Setiap daripada kita ini boleh membantah dan dibantah atasnya kecuali Rasulullah s.a.w”.

Maka di sini kami hendak membetulkan beberapa kenyataan yang telah kami buat dalam artikel: Benarkah Sahabat Bersengketa?.

 

Pertama: Imam Ibn Sirin rahimahullah dan peperangan Jamal dan Siffin

Kami berkata dalam artikel terdahulu:

“Imam Muhammad bin Sirin r.h, salah seorang Tabiin yang menyaksikan persengketaan ini dengan dua matanya…”

Pembetulan: Ketika berlakunya perang Jamal dan Siffin Imam Muhammad bin Sirin masih kecil, kerana dia wafat pada tahun 110 Hijrah pada umur 77 tahun, maka lahirnya sekitar tahun 33 Hijrah dan perang Jamal berlaku pada 36 Hijrah.

Namun, Imam Ibn Sirin rahimahullah adalah Tabiin dan telah mengambil Ilmu daripada 30 orang Sahabat Nabi s.a.w. Maka apa yang beliau katakan berkenaan fitnah antara Sahabat tidaklah beliau rekayasa sendiri tetapi sudah tentu didapati daripada para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in juga.

 

Kedua: Hadis Al-Zubir r.a memerangi Ali r.a secara zalim

Ketika berlaku peperangan Jamal ini, Saidina Al-Zubair r.a sebuah hadis Nabi s.a.w kepada beliau ketika Nabi s.a.w menemui beliau sedang duduk bersama Ali r.a lantas Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu mencintainya wahai Zubair?” Jawab Zubair: “Apakah yang menghalangi aku untuk mencintainya?” Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Maka bagaimana pula keadaan kamu nanti ketika kamu memeranginya sedangkan kamu berlaku zalim kepadanya?” Apabila beliau teringat akan hadis ini, maka Saidina Zubair r.a segera beredar daripada pertempuran dan bersumpah tidak akan memerangi Ali r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/268-269].

Hadis ini da’if tidak dapat dijadikan sandaran hujah, namun kenyataan Al-Zubair r.a meninggalkan medan peperangan Jamal adalah sahih dan tsabit. Berkata Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h:

وروى بن سعد بإسناد صحيح عن بن عباس أنه قال للزبير يوم الجمل: أجئت تقاتل بن عبد المطلب قال: فرجع الزبير فلقيه بن جرموز فقتله قال: فجاء بن عباس إلى علي فقال: إلى أين يدخل قاتل بن صفية قال: النار.

Maksudnya: “dan telah meriwayatkan Ibn Sa’ad dengan Sanad yang sahih daripada Ibn ‘Abbas bahawa beliau berkata kepada al-Zubair di hari (perang) Jamal: “Adakah kamu datang memerangi anak Abdul Muttalib? Kata nya: Maka al-Zubair pun pulang (meninggalkan peperangan) lalu dia ditemui Ibn Jarmuz lalu dia (Ibn Jarmuz) membunuh beliau. Katanya: Lalu datang Ibn ‘Abbas kepada Ali seraya berkata: “ke mana akan dimasukkan pembunuh Ibn Safiyyah (al-Zubair)?” Kata Ali r.a: “Neraka”. [al-Isabah, 1/380].

Imam Ibn Katsir r.h menyatakan bahawa dikatakan juga antara sebab Al-Zubair r.a keluar meninggalkan medan perang kerana beliau melihat ‘Ammar r.a berada di pihak ‘Ali r.a dan beliau teringat akan hadis Nabi s.a.w kepada ‘Ammar:

تَقْتُلُكَ الْفِئَةُ الْبَاغِيَةُ

Maksudnya: “Kamu akan dibunuh oleh kaum yang melampau batas (bughah)” [al-Bukhari&Muslim, lafaz Muslim]. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/269, cet. Ihya’ al-Turats].

 

Maka demikianlah sedikit pembetulan maklumat dalam artikel yang terdahulu, wallahu waliyyut taufiq.

 

 

Ditulis oleh,

Muhammad Asrie bin Sobri

Uni Islam Madinah al-Nabawiah, Arab Saudi.

 

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s

%d bloggers like this: