BAI’AT SAIDINA ALI BIN ABI TALIB R.A

OLEH: MUHAMMAD ASRIE BIN SOBRI

UNIVERSITI ISLAM MADINAH NABAWIAH

Fitnah Pertama:

Pada bulan Zulhijjah tahun 35 Hijrah, di hari-hari Umat Islam sedang mengerjakan ibadat Haji, Umat Islam dikejutkan dengan peristiwa yang amat dahsyat dan menggerunkan mereka, peristiwa yang akan menjadi sebab berubahnya perjalanan tarikh Umat Islam, peristiwa yang akan terus menjadi noda hitam yang besar di tengah-tengah lembaran putih sejarah Umat Islam; Pembunuh Amirul Mukminin Khalifah al-Rasyid ke-3, Saidina Usman bin ‘Affan r.a.

Walaupun Usman r.a bukanlah Khalifah Islam pertama yang mati terbunuh kerana Khalifah sebelum beliau, Umar bin al-Khattab r.a juga syahid terbunuh, namun bezanya pembunuhan al-Faruq adalah di tangan seorang kafir majusi Abu Lu’Lu’ah Fairuz sedangkan pembunuhan Usman r.a adalah di tangan mereka yang bernama: Muslimin.

Buat pertama kalinya Umat Islam menyaksikan acara Demonstrasi Aman yang dianjurkan oleh lelaki Munafiq Yahudi bernama Abdullah bin Saba’ namun, demonstrasi yang dikatakan oleh ketua-ketuanya sebagai Aman dan tidak berniat jahat selain hendak mendapatkan penjelasan daripada Khalifah akan beberapa keliruan dan salah faham berakhir dengan tumpahnya darah kekasih ALLAH dan Rasul-Nya, Saidina Usman bin ‘Affan r.a.

Peristiwa yang dahsyat ini menyebabkan jawatan terpenting Umat Islam, Khalifah menjadi kosong dari penyandang dan ini mendedahkan Umat Islam kepada bahaya kerana Khalifah adalah puncak dan pasak kepada Jamaah Kaum Muslimin, maka segeralah para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim mencari akan calon yang paling layak menggantikan tempat Usman r.a sebagaimana juga mereka bersegera bermesyuarat mencari Khalifah Rasulillah s.a.w selepas kewafatan baginda.

Calon yang paling layak setelah Usman r.a tanpa sebarang syak lagi adalah salah seorang Ahli Majlis Syura dan merupakan salah seorang calon Khalifah selepas kewafatan Umar r.a sebelum terpilihnya Usman r.a, menantu dan sepupu Rasulullah s.a.w, Saidina Ali bin Abi Talib r.a.

Akidah Ahlus Sunnah wal Jamaah Dalam Masalah Khilafah:

Ahlus Sunnah wal Jamaah –ridwanullahi ‘alaihim- telah bersepakat bahawa Khalifah yang keempat dalam senarai Khulafa’ al-Rasyidin al-Mahdiyyin yang diperintahkan oleh Rasulullah s.a.w utk kita berpegang dengan Sunnah mereka setelah Sunnah baginda adalah Saidina Ali bin Abi Talib radiallahu ‘anhu.

Kata Abdullah bin Ahmad bin Hanbal rahimahumallah:

“Aku bertanya kepada ayahku (Imam Ahmad) berkenaan susunan keutamaan antara Abu Bakar, Umar, Usman, dan Ali? Maka jawab ayahku: Abu Bakar, Umar, Usman, adapun Ali maka beliau adalah Khalifah yang keempat” [Al-Sunnah, Abdullah bin Ahmad, juz 2, m.s 218]

Kata Imam al-Tahawi r.h dalam Matan Akidah beliau:

وَنُثْبِتُ الْخِلَافَةَ بَعْدَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّم َ أَوَّلًا لِأَبِي بَكْرٍ الصِّدِّيقِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه تفضيلا له وتقديما على جميع الأمة ثُمَّ لِعُمَرَ بْنِ الْخَطَّابِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ثم لعثمان رَضِيَ اللَّهُ عَنْه ثُمَّ لِعَلِيِّ بْنِ أَبِي طَالِبٍ رَضِيَ اللَّهُ عَنْه وهم الخلفاء الراشدون والأئمة المهديون

Maksudnya: “dan kami (Ahlus Sunnah wal Jamaah) menetapkan Khilafah selepas Rasulullah s.a.w yang pertamanya kepada Abu Bakar al-Siddiq r.a sebagai satu keutaman dan pendahuluan atas sekalian umat kemudian kepada Umar bin Al-Khattab r.a kemudian kepada Usman r.a kemudian kepada Ali bin Abi Talib r.a dan mereka inilah para Khalifah al-Rasyidin dan Imam-imam Al-Mahdiyun (yang mendapat petunjuk)”.

Dalil Ahlus Sunnah wal Jamaah dalam masalah ini adalah hadis berikut:

Daripada Safinah Maula Rasulillah s.a.w-radiallahu ‘anhu- kata beliau:

Aku mendengar Nabi s.a.w bersabda:

الخِلافَةُ ثَلاثونَ عَامًا، ثمّ يكونُ بَعْدَ ذلِكَ الملكُ

Maksudnya: “Khilafah (selepasku) adalah selama 30 tahun kemudian akan bertukar kepada (sistem) beraja” [HR Abu Daud, Al-Tarmizi, Al-Nasai]

Kemudian berkata Safinah r.a: “Peganglah (hitunglah); Khilafah Abu Bakar dua tahun, Umar 10 tahun, Usman 12 tahun, dan Ali 6 tahun”.

Kata Imam Al-Ajurry r.h: “Ketahuilah –semoga ALLAH merahmati kami dan kamu- bahawa tiada lagi seseorang selepas (kewafatan) Usman r.a seorang pun yang lebih berhak menyandang jawatan Khalifah selain Ali bin Abi Talib r.a”. [Al-Syari’ah, m.s 512].

Khilafah Ali radiallahu ‘anhu:

Kedudukan Ali r.a sebagai Khalifah kaum Muslimin tsabit dan berlaku melalui pembai’atan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in setelah syahidnya Saidina Amirul Mukminin Usman bin ‘Affan r.a sebagaimana dalam hadis berikut:

عَنْ مُحَمَّدِ ابْنِ الْحَنَفِيَّةِ قَالَ: كُنْتُ مَعَ عَلِيٍّ، وَعُثْمَانُ مَحْصُورٌ، قَالَ: فَأَتَاهُ رَجُلٌ فَقَالَ: إِنَّ أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَقْتُولٌ، ثُمَّ جَاءَ آخَرُ فَقَالَ: إِنَّ أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ مَقْتُولٌ السَّاعَةَ، قَالَ: فَقَامَ عَلِيٌّ، قَالَ مُحَمَّدٌ: فَأَخَذْتُ بِوَسَطِهِ تَخَوُّفًا عَلَيْهِ، فَقَالَ: خَلِّ لَا أُمَّ لَكَ، قَالَ: فَأَتَى عَلِيٌّ الدَّارَ، وَقَدْ قُتِلَ الرَّجُلُ، فَأَتَى دَارَهُ فَدَخَلَهَا، وَأَغْلَقَ عَلَيْهِ بَابَهُ، فَأَتَاهُ النَّاسُ فَضَرَبُوا عَلَيْهِ الْبَابَ، فَدَخَلُوا عَلَيْهِ فَقَالُوا: إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ قَدْ قُتِلَ وَلَا بُدَّ لِلنَّاسِ مِنْ خَلِيفَةٍ، وَلَا نَعْلَمُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَا مِنْكَ، فَقَالَ لَهُمْ عَلِيٌّ: ” لَا تُرِيدُونِي، فَإِنِّي لَكُمْ وَزِيرٌ خَيْرٌ مِنِّي لَكُمْ أَمِيرٌ، فَقَالُوا: لَا وَاللَّهِ مَا نَعْلَمُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَا مِنْكَ، قَالَ: فَإِنْ أَبَيْتُمْ عَلَيَّ فَإِنَّ بَيْعَتِي لَا تَكُونُ سِرًّا، وَلَكِنْ أَخْرُجُ إِلَى الْمَسْجِدِ فَمَنْ شَاءَ أَنْ يُبَايِعَنِي بَايَعَنِي، قَالَ: فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَبَايَعَهُ النَّاسُ

Maksudnya: Daripada Muhammad bin al-Hanafiah (Muhammad bin ‘Ali bin Abi Talib r.a) berkata: Aku berada bersama ‘Ali pada waktu Usman dikepung lalu datang kepada beliau (Ali) seorang lelaki berkata: “Sesungguhnya Amirul Mukminin (Usman r.a) akan dibunuh”. Kemudian datang pula seorang lagi memberitahu: “Sesungguhnya Amirul Mukminin akan dibunuh sekarang”. Lalu Ali r.a bangun (untuk pergi mempertahankan Usman r.a) kata Muhammad bin al-Hanafiah: Maka aku menghalangnya kerana takut akan keselamatan dirinya. Lalu kata beliau (‘Ali): “Lepaskan, tiada ibu bagimu!”. Kata Muhammad: Lalu beliau mendatangi rumah Usman r.a dan mendapati beliau sudah pun dibunuh lalu beliau kembali ke rumahnya dan menutup pintu lalu manusia datang kepadanya mengetuk pintu dan masuk menemuinya lalu berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (yakni Usman bin ‘Affan r.a) sudah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Khalifah sedangkan kami tidak tahu ada seorang pun yang lebih berhak akannya selain daripada kamu”. Lalu Ali r.a berkata kepada mereka: “Janganlah kamu mengkehendaki aku, sesungguhnya aku lebih baik menjadi Wazir (pembantu Khalifah) lebih baik daripada aku menjadi Ketua”. Lalu kata mereka: “Tidak Demi ALLAH, kami tidak ketahui seorang pun yang lebih berhak akannya daripada kamu”. Kata Ali r.a: “Jika kamu tetap enggan melainkan aku maka hendaklah pembai’atan aku tidak dilakukan secara rahsia tetapi aku akan keluar ke Masjid (Masjid Nabawi) maka barangsiapa yang hendak membai’at aku dia bai’atlah”. Kata Muhammad: “Maka beliau keluar ke Masjid dan manusia pun membai’at beliau”.

Yang dimaksudkan dengan “manusia” yang datang ke rumah Ali r.a hendak membai’at beliau adalah para Sahabat Rasulullah s.a.w sebagaimana dalam lafaz yag lain:

فَأَتَاهُ أَصْحَابُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَقَالُوا: إِنَّ هَذَا الرَّجُلَ قَدْ قُتِلَ وَلَا بُدَّ لِلنَّاسِ مِنْ إِمَامٍ، وَلَا نَجِدُ أَحَدًا أَحَقَّ بِهَذَا الْأَمْرِ مِنْكَ، أَقْدَمَ مَشَاهِدًا وَلَا أَقْرَبَ مِنْ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: ” maka datang kepada beliau para Sahabat Rasulillah s.a.w lalu mereka berkata: “Sesungguhnya lelaki ini (Amirul Mukminin Usman r.a) telah dibunuh sedangkan manusia memerlukan Imam (pemimpin) sedangkan kami tidak menemui seorang pun yang lebih berhak memegang urusan ini (khilafah) daripada kamu, orang yang terawal menyaksikan dan paling dekat dengan Rasulullah s.a.w…”

Hadis ini atau riwayat ini dikeluarkan oleh Imam Ahmad r.h dalam kitab beliau: Fadail al-Sahabah no.969 dan al-Khallal dalam al-Sunnah, no. 620, 622, dan 623, Al-Ajurry dalam al-Syari’ah, no; 1215 dan ianya riwayat bermartabat Hasan atau Sahih.

Dalam riwayat di sisi Al-Tabari terdapat tambahan kata-kata Ibn ‘Abbas r.huma:

فَلَقَدْ كَرِهْتُ أَنْ يَأْتِيَ الْمَسْجِدَ مَخَافَةَ أَنْ يَشْغَبَ عَلَيْهِ، وَأَبَى هُوَ إِلا الْمَسْجِدَ، فَلَمَّا دَخَلَ دَخَلَ الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارِ فَبَايَعُوهُ، ثُمَّ بَايَعَهُ النَّاسُ.

Maksudnya: “Adalah aku tidak suka untuk beliau datang ke masjid kerana aku takut akan berlaku huru-hara, tetapi beliau tetap hendak ke Masjid, maka apabila beliau telah masuk, Muhajirun dan Ansar juga masuk lalu mereka (al-Muhajirun dan al-Ansar) membaiat beliau kemudian diikuti orang ramai”. [Tarikh al-Tabari, 4/427].

Riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa Saidina Ali bin Abi Talib r.a dibai’at dengan persetujuan Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi daripada kalangan Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.

Dalam riwayat lain pula:

عَنْ أَبِي بَشِيرٍ الْعَابِدِيِّ، قَالَ: كُنْتُ بِالْمَدِينَةِ حِينَ قُتِلَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ، وَاجْتَمَعَ الْمُهَاجِرُونَ وَالأَنْصَارُ، فِيهِمْ طَلْحَةُ وَالزُّبَيْرُ، فَأَتَوْا عَلِيًّا فَقَالُوا: يَا أَبَا حَسَنٍ، هَلُمَّ نُبَايِعُكَ، فَقَالَ: لا حَاجَةَ لِي فِي أَمْرِكُمْ، أَنَا مَعَكُمْ فَمَنِ اخْتَرْتُمْ فَقَدْ رَضِيتُ بِهِ، فَاخْتَارُوا وَاللَّهِ فَقَالُوا: مَا نَخْتَارُ غَيْرَكَ، قَالَ: فَاخْتَلَفُوا إِلَيْهِ بَعْدَ مَا قُتِلَ عُثْمَانُ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ مِرَارًا، ثُمَّ أَتَوْهُ فِي آخِرِ ذَلِكَ، فَقَالُوا لَهُ: إِنَّهُ لا يَصْلُحُ النَّاسُ إِلا بِإِمْرَةٍ، وَقَدْ طَالَ الأَمْرُ، فَقَالَ لَهُمْ: إِنَّكُمْ قَدِ اخْتَلَفْتُمْ إِلَيَّ وَأَتَيْتُمْ، وَإِنِّي قَائِلٌ لَكُمْ قَوْلا إِنْ قَبِلْتُمُوهُ قَبِلْتُ أَمْرَكُمْ، وَإِلا فَلا حَاجَةَ لِي فِيهِ قَالُوا: مَا قُلْتَ مِنْ شَيْءٍ قَبِلْنَاهُ إِنْ شَاءَ اللَّهُ.

Maksudnya: Daripada Abu Basyir al-‘Abidi kata beliau: “Aku berada di Madinah ketika terbunuhnya Usman r.a maka berhimpunlah al-Muhajirun dan al-Ansar termasuk dalam kalangan mereka Talhah dan Al-Zubair lalu mereka datang kepada Ali r.a lalu mereka berkata: “Ke marilah kami bai’at kamu (sebagai Khalifah)”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Aku tidak berhajat akan urusan kamu, aku bersama kamu, sesiapa sahaja yang kamu pilih maka aku meredainya maka pilihlah (selain aku) demi ALLAH”. Lalu mereka (para Sahabat) berkata: “Kami tidak akan memilih selain kamu”. Kata Abu Basyir: “Mereka datang kepada Ali berkali-kali sehingga yang kali terakhirnya mereka berkata kepadanya: “Sesungguhnya tidak boleh bagi manusia tanpa adanya pemimpin sedangkan telah berlanjutan masa (tanpa pemimpin)”. Lalu kata Ali kepada mereka: “Sesungguhnya kamu telah berulang kali datang kepada aku dan kamu enggan (memilih selain aku) dan sesungguhnya aku hendak berkata suatu perkara jika kamu menerimanya, maka aku menerima permintaan kamu, jika tidak maka aku tidak berhajat akannya (tidak berhajat menjadi Khalifah)”. Mereka berkata: “Apa sahaja yang kamu katakana kami akan terima insya-ALLAH”.

فَجَاءَ فَصَعِدَ الْمِنْبَرَ، فَاجْتَمَعَ النَّاسُ إِلَيْهِ، فقال: انى قد كُنْتُ كَارِهًا لأَمْرِكُمْ، فَأَبَيْتُمْ إِلا أَنْ أَكُونَ عَلَيْكُمْ، أَلا وَإِنَّهُ لَيْسَ لِي أَمْرٌ دُونَكُمْ، إِلا أَنَّ مَفَاتِيحَ مَالِكُمْ مَعِي، أَلا وَإِنَّهُ لَيْسَ لِي أَنْ آخُذَ مِنْهُ دِرْهَمًا دُونَكُمْ، رَضِيتُمْ؟ قَالُوا:

نَعَمْ، قَالَ: اللَّهُمَّ اشْهَدْ عَلَيْهِمْ، ثُمَّ بَايَعَهُمْ عَلَى ذَلِكَ.

قَالَ أَبُو بَشِيرٍ: وانا يومئذ عند منبر رسول الله ص قَائِمٌ أَسْمَعُ مَا يَقُولُ.

Maksudnya: Maka beliau (Ali r.a) menaiki minbar lalu manusia berkumpul kepada beliau lalu beliau berkata: “Sesungguhnya aku membenci urusan kamu (untuk menjadi pemimpin kamu), namun kamu tetap enggan melainkan untuk aku memimpin kamu, sesungguhnya tiada bagi aku urusan tanpa persetujuan daripada kamu melainkan kuncui-kunci harta kamu berada denganku, sesungguhnya aku tidak akan mengambilnya walaupun se-dirham tanpa pengetahuan kamu, adakah kamu reda akan ini?” Jawab mereka: “Ya”. Kata Ali: “Ya ALLAH Engkau saksikanlah atas mereka”. kemudian beliau menerima bai’at mereka atas dasar itu.

Kata Abu Basyir: “Sedangkan aku ketika itu berada di sisi Minbar Rasulullah s.a.w berdiri mendengar apa yang beliau katakana”. [Tarikh al-Tabari, 4/427-428].

Riwayat ini menjelaskan lagi dan merincikan lagi peristiwa pembai’atan Ali r.a dan isi kandungannya tidak lah lari daripada cerita asas yang terkandung dalam riwayat Sahih daripada Imam Ahmad r.h, maka riwayat seperti ini dalam penilaian ilmu sejarah adalah diterima dan matannya sahih, tiada padanya cerita-cerita yang mencemarkan nama baik Sahabat atau menggambarkan mereka dengan tingkah laku yang tidak layak dengan kedudukan mereka dan tsabitlah melalui riwayat-riwayat ini semuanya bahawa pembai’atan ‘Ali r.a adalah dengan keredaan dan kesepakatan para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in termasuk Talhah bin Ubaidullah r.a dan Al-Zubair bin al-‘Awwam r.a.

عَنْ عَوْفٍ، قَالَ: كُنْتُ عِنْدَ الْحَسَنِ، فَكَانَ ثَمَّ رَجُلٌ انْتَقَصَ أَبَا مُوسَى بِاتِّبَاعِهِ عَلِيًّا، فَغَضِبَ الْحَسَنُ ثُمَّ قَالَ: «سُبْحَانَ اللَّهِ، قُتِلَ أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ عُثْمَانُ، فَاجْتَمَعَ النَّاسُ عَلَى خَيْرِهِمْ فَبَايَعُوهُ، أَفَيُلَامُ أَبُو مُوسَى وَأَتْبَاعُهُ»

Maksudnya: “Daripada ‘Auf (‘Auf al-A’rabi) kata beliau: “Aku berada di sisi al-Hasan (al-Basri) r.h dan ada di sana seorang lelaki yang mencela Abu Musa (al-Asy’ari) r.a kerana mengikut Ali r.a lalu al-Hasan menjadi marah kemudian berkata: “Maha Suci ALLAH! Amirul Mukminin Usman dibunuh kemudian manusia (yakni para Sahabat r.hum) berhimpun kepada yang terbaik dalam kalangan mereka lalu mereka membai’atnya, apakah patut dicela Abu Musa dan para pengikutnya?!!”. [HR al-Khallal dalam al-Sunnah]

Dalam riwayat yang lain daripada ‘Auf kata beliau:

كُنْتُ عِنْدَ الْحَسَنِ، فَذَكَرُوا أَصْحَابَ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ

Maksudnya: “Adalah aku berada di sisi al-Hasan lalu mereka menyebut tentang para Sahabat Rasulullah s.a.w…”[Dikeluarkan oleh Abdullah bin Ahmad daripada Ayahnya dalam Fadail al-Sahabah].

Hasan al-Basri r.h adalah saksi peristiwa pembunuhan Usman r.a dan beliau berada di Madinah semasa kejadian dan semasa pembai’atan Ali r.a dan beliau adalah antara murid Ali r.a. Maka dengan pernyataan ini jelas menunjukkan bahawa semua Sahabat yang berada di Madinah membai’at Ali r.a dengan keredaan dan pilihan mereka.

Bai’at Paksa?

Dakwaan bahawa pembai’atan Ali bin Abi Talib r.a dilakukan dengan pemaksaan daripada para pemberontak dan pembunuh Usman bin ‘Affan r.a adalah tidak benar bahkan terdapat riwayat-riwayat yang sahih menunjukkan bahawa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak tunduk kepada desakan pemberontak; daripada Sallam bin Miskin r.h kata beliau:

سَمِعْتُ الْحَسَنَ قَالَ: لَمَّا كَانَ مِنْ عُثْمَانَ مَا كَانَ، وَاخْتِلَاطِ النَّاسِ أَتَوْا عَبْدَ اللَّهِ بْنَ عُمَرَ فَقَالُوا: أَنْتَ سَيِّدُنَا، وَابْنُ سَيِّدِنَا، اخْرُجْ يُبَايِعْكَ النَّاسُ، وَكُلُّهُمْ بِكَ رَاضٍ، فَقَالَ: «لَا وَاللَّهِ لَا يُهْرَاقُ فِي سَبَبِي مِحْجَمَةٌ مِنْ دَمٍ، مَا كَانَ فِيَّ رُوحٌ» ، ثُمَّ عَادُوا إِلَيْهِ فَخَوَّفُوهُ فَقَالُوا: لَتُخْرُجَنَّ أَوْ لَتُقْتَلَنَّ عَلَى فِرَاشِكَ، فَقَالَ: مِثْلَهَا، فَأَطْمَعُ وَأُخِيفُ، قَالَ: فَوَاللَّهِ مَا اسْتَقَلُّوا مِنْهُ بِشَيْءٍ حَتَّى لَحِقَ بِاللَّهِ عَزَّ وَجَلَّ.

Maksudnya: “Aku mendengar al-Hasan (al-Basri) r.h berkata: “Apabila berlaku kepada Usman apa yang berlaku dan manusia menjadi celaru mereka mendatangi Abdullah bin Umar lalu mereka berkata: “Engkau adalah penghulu kami anak kepada penghulu kami, keluarlah supaya manusia boleh membai’at kamu dan mereka semua pasti akan reda dengan kamu (sebagai Khalifah)”. Maka jawab beliau: “Tidak, demi ALLAH, tidak akan tumpah darah walaupun sebesar jarum bekam disebabkan aku selama mana aku masih bernyawa”. Kemudian mereka kembali kepadanya dan menggertaknya lalu berkata: “Hendaklah kamu keluar atau kamu akan dibunuh di atas hamparanmu”. Lalu beliau berkata seperti sebelumnya maka dia diberi tawaran dan diugut. Kata Al-Hasan al-Basri: “Maka demi ALLAH tidak mereka dapat berbuat apa dengan beliau sehinggalah beliau kembali bertemu dengan ALLAH”. [Dikeluarkan oleh Imam Ahmad dalam Fadail al-Sahabah dan al-Khallal dalam al-Sunnah dan sanadnya Sahih].

عَنْ قَيْسِ بْنِ عَبَّادٍ، قَالَ: سَمِعْتُ عَلِيًّا رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ يَوْمَ الْجَمَلِ يَقُولُ: اللَّهُمَّ إِنِّي أَبْرَأُ إِلَيْكَ مِنْ دَمِ عُثْمَانَ، وَلَقَدْ طَاشَ عَقْلِي يَوْمَ قُتِلَ عُثْمَانُ، وَأَنْكَرَتْ نَفْسِي وجَاءُونِي لِلْبَيْعَةِ، فَقُلْتُ: وَاللَّهِ إِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ قَوْمًا قَتَلُوا رَجُلًا قَالَ لَهُ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: «أَلَا أَسْتَحْيِي مِمَّنْ تَسْتَحْيِي مِنْهُ الْمَلَائِكَةُ» ، وَإِنِّي لَأَسْتَحْيِي مِنَ اللَّهِ أَنْ أُبَايِعَ وَعُثْمَانُ قَتِيلٌ عَلَى الْأَرْضِ لَمْ يُدْفَنْ بَعْدُ، فَانْصَرَفُوا، فَلَمَّا دُفِنَ رَجَعَ النَّاسُ فَسَأَلُونِي الْبَيْعَةَ، فَقُلْتُ: اللَّهُمَّ إِنِّي مُشْفِقٌ مِمَّا أَقْدَمُ عَلَيْهِ، ثُمَّ جَاءَتْ عَزِيمَةٌ فَبَايَعْتُ فَلَقَدْ قَالُوا: يَا أَمِيرَ الْمُؤْمِنِينَ، فَكَأَنَّمَا صُدِعَ قَلْبِي، وَقُلْتُ: اللَّهُمَّ خُذْ مِنِّي لِعُثْمَانَ حَتَّى تَرْضَى

Maksudnya: Daripada Qais bin ‘Ubadah kata beliau: Aku mendengar Ali r.a berkata pada hari Peristiwa Jamal: “YA ALLAH sesungguhnya aku berlepas diri kepada-Mu daripada terlibat dalam pembunuhan Usman; sesungguhnya akal ku hilang pada hari Usman dibunuh dan aku (seolah-olah) tidak mengenali diriku lagi, lalu mereka datang kepada ku untuk berbai’ah lalu aku berkata: Demi ALLAH sesungguhnya aku malu untuk berbai’at dengan kaum yang telah membunuh seorang lelaki yang mana Rasulullah s.a.w telah bersabda berkenaanya: “Adalah wajar aku berasa malu dengan orang yang Malaikat berasa malu dengannya”. Sesungguhnya aku malu untuk dibai’ah sedangkan Usman terbunuh belum dikebumikan lagi”. Maka mereka pun berlalu pergi. Apabila telah dikebumikan Usman mereka datang kembali dan meminta untuk aku dibai’ah, maka aku berkata: “Ya ALLAH, sesungguhnya aku berasa amat berat untuk melakukan perkara ini”. Kemudian datang rasa kekuatan (pada diriku) maka aku pun berbai’ah. Maka apabila mereka berkata kepadaku: “Wahai Amirul Mukminin!” maka jangtungku seolah-olah disentap dan aku berkata: “Ya ALLAH, Engkau tuntutlah pembalasa bagi pihak ku untuk Usman sehingga Engkau reda”. [Al-Hakim dalam al-Mustadrak no. 4527, Ibn Asakir dalam Tarikh Dimasyq, kata Imam al-Zahabi r.h: Hadis ini di atas Syarat al-Bukhari dan Muslim]

عن ابن المسيب، قال: لما قتل عثمان جاء الناس كلهم إلى علي يهرعون أصحاب محمد وغيرهم، كلهم يقول: أمير المؤمنين علي، حتى دخلوا عليه داره، فقالوا: نبايعك فمد يدك، فأنت أحق بها، فقال علي: ليس ذاك إليكم، وإنما ذاك إلى أهل بدر، فمن رضي به أهل بدر فهو خليفة، فلم يبق أحد إلا أتى عليا، فقالوا: ما نرى أحدا أحق بها منك، فمد يدك نبايعك، فقال: أين طلحة والزبير؟ فكان أول من بايعه طلحة بلسانه، وسعد بيده، فلما رأى علي ذلك خرج إلى المسجد، فصعد المنبر، فكان أول من صعد إليه، فبايعه طلحة، وبايعه الزبير، وأصحاب النبي صلى الله عليه وسلم ورضي عنهم أجمعين

Maksudnya: Daripada Ibn al-Musayyib (Sa’id bin al-Musayyib) r.h kata beliau: “Apabila dibunuhnya Usman r.a maka bergegaslah manusia mendatangi Ali r.a, terdiri daripada para Sahabat Muhammad s.a.w dan selain mereka, kesemua mereka berkata: “Amirul Mukminin Ali”. Sehinggalah mereka masuk ke rumah beliau mereka berkata: “Hulurkan tangan kamu untuk kami bai’at, engkau adalah orang yang paling berhak akannya”. Lalu berkata Ali: “Sesungguhnya urusan ini bukan milik kamu tetapi ia urusan Ahli Badar, barangsiapa yang diredai oleh Ahli Badar maka dialah yang berhak menjadi Khalifah”. Maka tidak tinggal seorang pun (daripada Ahli Badar) melainkan mereka datang kepada Ali r.a seraya berkata: “Kami tidak tahu ada sesiapa lagi yang lebih layak selain daripada kamu maka hulurkan tangan kamu untuk kami bai’ah”. Lalu beliau (Ali) berkata: “Di manakah Talhah dan al-Zubair?” maka orang pertama yang membai’at beliau adalah Talhah dengan lisan beliau diikuti Sa’ad (ibn Abi Waqqas r.a) dengan tangannya. Apabila Ali r.a melihat yang demikian (terdapatnya kesepakatan Ahli Badar) beliau keluar menuju ke Masjid lalu menaiki Minbar maka orang pertama yang menaiki minbar dan membai’at beliau adalah Talhah dan turut membai’at beliau Al-Zubair dan seluruh Sahabat Nabi sallallahu ‘alaihi wa sallam wa radiya ‘anhum ajma’ien”. [Riwayat ini dikeluarkan oleh Ibn al-Atsir dalam Usudul Ghabah dengan Sanad yang tidak kurang dari Hasan, no. 1146].

Riwayat-riwayat yang sahih ini menunjukkan bahawa para Sahabat; al-Muhajirun dan al-Ansar ridwanullahi ‘alaihim tidaklah tunduk dengan desakan-desakan daripada pemberontak untuk memilih calon Khalifah, bahkan mereka tidak gentar dengan ugutan bunuh daripada pemberontak.

Saidina Ali r.a sendiri tidak menerima pembai’atan daripada pemberontak bahkan beliau menerimanya setelah disetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang berada di Madinah.

Demikian juga pembai’atan Ali r.a adalah setelah dipersetujui oleh para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim terutama Ahli Badar dan Ali r.a tidak tunduk pada asakan pemberontak dan beliau bertegas hak memilih pemimpin bukanlah milik semua tetapi ia milik Ahli al-Hilli wal ‘Aqdi yang pada masa itu adalah al-Muhajirun wal Ansar yang diketuai oleh Ahli Badar.

Riwayat-riwayat sejarah yang menunjukkan bahawa ada Sahabat ridwanullahi ‘alaihim ajma’in yang tidak berbai’at dengan Amirul Mukminin Ali r.a adalah lemah daripada riwayat Saif bin ‘Umar al-Tamimi dan beliau ini seorang yang da’if dalam Hadis, Sandaran dalam Sejarah sebagaimana dinyatakan Imam Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Taqrib al-Tahzib.

Maka riwayat-riwayat Saif boleh diterima dalam sejarah jika ada sokongan dan sandaran, adapun dalam keadaan riwayat-riwayat beliau berlawanan dengan riwayat Ahlul Hadis yang tsiqah dan sahih maka riwayat Ahlul Hadis hendaklah didahulukan daripada riwayat Akhbari (Ahli Riwayat Sejarah) sebagaimana yang diketahui dalam kaedah mentarjihkan riwayat-riwayat sejarah.

Ada juga riwayat-riwayat daripada Abu Mikhnaf Lut bin Yahya yang menyatakan ada Sahabat-sahabat Rasulullah s.a.w yang tidak berbai’at kepada Ali r.a namun sebagaimana diketahui Lut bin Yahya adalah seorang Syi’ah Rafidah yang fanatic dengan mazhabnya, tidak diterima sama sekali riwayat-riwayat daripadanya yang mempunyai unsur-unsur celaan kepada para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim.

Talhah dan al-Zubair r.huma:

Demikian juga riwayat yang menunjukkan bahawa Talhah bin Ubaidillah r.a dan Al-Zubair bin al-‘Awwam r.a dipaksa oleh pemberontak untuk berbai’at kepada Ali r.a dan mereka tidak lah reda menerima perlantikan Ali r.a adalah jelas berlawanan dengan riwayat-riwayat Sahih yang menunjukkan mereka berdua membai’at Ali r.a dengan kerelaan dan sedar akan kelayakan Ali r.a sebagai Khalifah.

 عَنْ عَوْفٍ، قَالَ: أَمَّا أَنَا فَأَشْهَدُ أَنِّي سَمِعْتُ مُحَمَّدَ بْنَ سِيرِينَ يَقُولُ: إِنَّ عَلِيًّا جَاءَ فَقَالَ لِطَلْحَةَ: ابْسُطْ يَدَكَ يَا طَلْحَةَ لأُبَايِعَكَ، فقال طلحه: أنت أحق، وأنت أَمِيرُ الْمُؤْمِنِينَ، فَابْسُطْ يَدَكَ، قَالَ: فَبَسَطَ عَلِيٌّ يَدَهُ فَبَايَعَهُ.

Maksudnya: Daripada ‘Auf (al-A’rabi) r.h kata beliau: “Adapun aku maka aku bersaksi bahawa aku mendengar Muhammad bin Sirin berkata: “Sesungguhnya Ali telah datang dan berkata kepada Talhah: “Hulurkan tanganmu wahai Talhah untuk aku membai’atmu”. Maka berkata Talhah: “Engkau lebih berhak, engkaulah Amirul Mukminin, maka hlurkan tanganmu”. Kata beliau (Ibn Sirin): “Maka Ali menghulurkan tangan beliau maka beliau (Talhah) membaiatnya”. [Ibn Jarir al-Tabari dalam al-Tarikh dan Al-Balazuri dalam Ansab al-Asyraf dengan sanad yang sahih].

Walaupun riwayat ini mursal daripada Imam Muhammad bin Sirin r.h, namun sudah tentu ianya sahih selari dengan peristiwa pembai’atan yang diriwayatkan dalam riwayat-riwayat yang sahih dan ia menjelaskan dan memperincikan lagi perjalanan peristiwa bai’at di mana Ali r.a cuba mengelak menjadi Khalifah maka apabila datang Ahli Badar beliau memanggil Talhah dan al-Zubair r.huma kemudian Ali r.a mencadangkan Talhah sebagai Khalifah namun Talhah menolak dan menegaskan Ali r.a adalah yang paling berhak lalu Talhah membaiat beliau dan ini menjelaskan dan menyokong Talhah adalah orang pertama yang membai’at Ali r.a sebagaimana dalam riwayat Ibn al-Atsir yang telah lalu.

Demikian juga telah tsabit dengan riwayat yang sahih Al-Zubair bin al-‘Awwam r.a membai’at Amirul Mukminin Ali r.a:

عَنِ الْحَسَنِ قَالَ: رَأَيْتُ الزُّبَيْرَ بَايَعَ عَلِيًّا فِي حَشٍّ مِنْ أَحْشَاشِ الْمَدِينَةِ

Maksudnya: Daripada Al-Hasan (Al-Basri) r.h kata beliau: “Aku melihat Al-Zubair membai’at Ali r.a di sebuah kebun daripada kebun-kebun Madinah” [Al-Balazuri, Ansab al-Asyraf, no. 274, sanadnya Sahih].

Riwayat-riwayat sejarah yang menyatakan bahawa Al-Zubair r.a dan Talhah r.a membai’at Ali r.a dengan dipaksa dalam keadaan pedang terhunus adalah tidak benar namun telah tsabit riwayat juga menunjukkan bahawa mereka berbai’at dalam keadaan terpaksa dan terdapat ugutan antaranya:

Daripada Abu Nadhrah r.h:

أَنَّ رَبِيعَةَ، كَلَّمَتْ طَلْحَةَ فِي مَسْجِدِ بَنِي مَسْلَمَةَ فَقَالُوا: كُنَّا فِي نَحْرِ الْعَدُوِّ حَتَّى جَاءَتْنَا بَيْعَتُكَ هَذَا الرَّجُلَ , ثُمَّ أَنْتَ الْآنَ تُقَاتِلُهُ أَوْ كَمَا قَالُوا , قَالَ: فَقَالَ: إِنِّي أُدْخِلْتُ الْحُشَّ وَوُضِعَ عَلَى عُنُقِي اللُّجُّ , وَقِيلَ: بَايِعْ وَإِلَّا قَاتَلْنَاكَ , قَالَ: فَبَايَعْتُ وَعَرَفْتُ أَنَّهَا بَيْعَةُ ضَلَالَةٍ

Maksudnya: “Bahawa Rabi’ah (bin Abdullah bin al-Hadir al-Taimi –beliau adalah Tabiin Besar dilahirkan di zaman Nabi s.a.w-) bercakap dengan Talhah di Masjid Bani Maslamah lalu mereka berkata: “Adalah kita ini sudah memegang leher para musuh sehinggalah datang berita bai’at kamu terhadap lelaki ini (Ali r.a) kemudian kamu sekarang memeranginya (melawan arahan beliau)” atau seumpama yang mereka ucapkan. Maka berkata Talhah: “Sesungguhnya aku dimasukkan di sebuah kebun kemudian diletakkan pedang di leherku dan dikatakan kepadaku: “Bai’atlah jika tidak kami akan membunuh kamu”. Kata beliau: “Maka aku berbai’at sedangkan aku tahu ianya bai’at yang tidak benar” [Al-Musannaf, Ibn Abi Syaibah, 37775].

عَنْ سَعْدِ بْنِ إِبْرَاهِيمَ، قَالَ: سَمِعْتُ أَبِي قَالَ: بَلَغَ عَلِيُّ بْنُ أَبِي طَالِبٍ أَنَّ طَلْحَةَ، يَقُولُ: إِنَّمَا بَايَعْتُ وَاللُّجُّ عَلَى قَفَايَ , قَالَ: فَأَرْسَلَ ابْنَ عَبَّاسٍ فَسَأَلَهُمْ , قَالَ: فَقَالَ أُسَامَةُ بْنُ زَيْدٍ أَمَّا وَاللُّجُّ عَلَى قَفَاهُ فَلَا أَعْلَمُ وَلَكِنْ قَدْ بَايَعَ وَهُوَ كَارِهٌ

Maksudnya: Daripada Sa’ad bin Ibrahim kata beliau: Aku mendengar daripada ayahku (Ibrahim bin Abdul Rahman bin ‘Auf) berkata: “Telah sampai kepada Ali bin Abu Talib bahawa Talhah berkata: “Sesungguhnya aku berbai’at dalam keadaan pedang berada di tengkuk ku”. Maka Ali mengutuskan Ibn ‘Abbas r.a bertanya mereka, maka berkata Usamah bin Zaid: “Adapun berkenaan pedang berada di kepalanya maka aku tidak tahu namun beliau telah berbai’at dalam keadaan beliau tidak suka” [Al-Musannaf, 37773]

Riwayat-riwayat ini adalah Sahih dan riwayat yang pertama disahihkan oleh Ibn Hajar al-‘Asqalani dalam Fathul Bari [13/54] dan riwayat kedua juga sanadnya sahih.

Namun, ada pertentangan dengan riwayat Sahih yang lain yang menyatakan mereka mencadangkan supaya Ali r.a dibai’at sebagai Khalifah sebaik sahaja mereka melihat tiada harapan lagi untuk menyelamatkan Usman r.a.

Al-Ahnaf bin Qais r.a menceritakana bahawa beliau bertanya kepada Talhah dan al-Zubair r.huma siapakah yang patut dibai’at jika Usman r.a terbunuh? Maka mereka kedua-duanya menjawab: Ali r.a.

قَالَ الْأَحْنَفُ فَلَقِيتُ طَلْحَةَ وَالزُّبَيْرَ فَقُلْتُ إِنِّي لَا أَرَى هَذَا الرَّجُلَ يَعْنِي عُثْمَانَ إِلَّا مَقْتُولًا فَمَنْ تَأْمُرَانِي بِهِ قَالَا عَلِيٌّ

Maksudnya: “Berkata al-Ahnaf: Maka aku bertemu dengan Talhah dan al-Zubair maka aku berkata: Sesungguhnya aku tidak ketahui melainkan lelaki ini –yakni Usman r.a- melainkan akan dibunuh (oleh pemberontak) maka siapakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya (untuk dibai’at)?” Jawab kedua mereka: “Ali”. [Fathul Bari, 13/34 dan kata Ibn Hajar r.h: “maka Al-Tabari mengeluarkan dengan sanad yg SAHIH…”]

Dalam Musannaf Ibn Abi Syaibah dengan lafaz:

قَالَ الْأَحْنَفُ: فَانْطَلَقْتُ فَأَتَيْتُ طَلْحَةَ , وَالزُّبَيْرَ فَقُلْتُ: مَا تَأْمُرَانِي بِهِ وَمَنْ تَرْضَيَانِهِ لِي , فَإِنِّي لَا أَرَى هَذَا إِلَّا مَقْتُولًا , قَالَا: نَأْمُرُكَ بِعَلِيٍّ , قَالَ: قُلْتُ: تَأْمُرَانِي بِهِ وَتَرْضَيَانِهِ لِي؟ قَالَا: نَعَمْ

Maksudnya: “Berkata Al-Ahnaf: “Maka aku pergi kepada Talhah dan al-Zubair lalu aku berkata: “Apakah yang kamu berdua perintahkan aku dengannya dan kamu redai untuk aku (lakukan)? Sesungguhnya aku tidak melihat melainkan dia (Usman r.a) akan dibunuh”. Kata mereka berdua: “kami memerintahkan kamu dengan Ali (yakni sebagai Khalifah mengganti Usman r.a)”. Aku (al-Ahnaf) berkata: “Kamu berdua menyuruh aku dengan beliau dan kamu reda beliau untuk ku?” Jawab kedua mereka: “Ya”. [Musannaf, no. 37798].

Demikian juga daripada Zaid bin Wahb menceritakan bahawa Ali r.a berkata kepada Talhah dan al-Zubair r.huma pada hari Jamal:

وَقَالَ عَلِيٌّ , لِطَلْحَةَ , وَالزُّبَيْرِ: أَلَمْ تُبَايِعَانِي؟ فَقَالَا: نَطْلُبُ دَمَ عُثْمَانَ ; فَقَالَ عَلِيٌّ: لَيْسَ عِنْدِي دَمُ عُثْمَانَ

Maksudnya: “dan berkata Ali kepada Talhah dan al-Zubair: Bukankah kamu berdua membai’at aku? Maka jawab mereka berdua: “Kami menuntut pembalasan bagi pihak Usman”. Jawab Ali: “Tidak ada di sisi aku apa yang hendak kamu tuntut berkenaan darah Usman”. [Musannaf Ibn Abi Syaibah, no. 37833].

Perbualan ini menjelaskan bahawa tindakan Talhah dan al-Zubair r.huma keluar dalam peristiwa Jamal adalah untuk menuntut penegakan Qisas bagi pembunuh Usman r.a bukan untuk merebut Khilafah dan mencabar Khilafah Ali r.a bahkan mereka tidak ingkar pernayataan Ali r.a bahawa mereka telah membai’at Ali r.a.

Melihat kepada riwayat-riwayat yang bercanggah ini kita dapat simpulkan bahawa Talhah dan al-Zubair r.huma sebenarnya membai’at Ali r.a dalam keadaan “paksa rela”; yakni: mereka tidak ingkar Ali r.a sebagai orang yang berhak menjadi Khalifah selepas Usman r.a dan mereka tidak syak sama sekali Ali r.a adalah orang yang patut dibai’at, maka mereka tidak sama sekali dipaksa mana-mana pihak untuk memilih Ali r.a sebagai Khalifah bahkan memang mereka bersama-sama dengan Ahli Badar yang lain bersetuju Ali r.a adalah Khalifah yang berhak dilantik.

Namun, mereka berdua mempunyai pandangan yang sama dengan Saidina Mu’awiyah r.a bahawa urusan bai’ah Khalifah yang baharu mestilah dilaksanakan setelah para pemberontak ditawan dan Madinah dibebaskan dari cengkaman mereka serta pembunuh Usman r.a ditangkap.

Berdasarkan riwayat-riwayat Sahih yang lalu kita dapat melihat dengan jelas bahawa para pemberontak memaksa para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim untuk memilih Khalifah dengan segera dan mengugut Ibn Umar r.huma dengan ugutan bunuh jika beliau enggan menjadi Khalifah maka tidak jauh jika kita katakana Talhah dan al-Zubair r.huma juga diugut sedemikian rupa oleh para pemberontak.

Untuk mengelak mafsadah yang lebih besar sebelum para pemberontak itu bertindak di luar jangkauan melantik orang yang menjadi boneka mereka sebagai Khalifah dan menyebabkan urusan Khilafah terkeluar dari tangan Sahabat ridwanullahi ‘alaihim dan jatuh ke tangan pemberontak, maka mereka bergegas membai’at Ali r.a walaupun menurut pandangan Talhah dan al-Zubair r.huma sepatutnya pembersihan Madinah dari pemberontak dan pembalasan terhadap pembunuh Usman r.a mestilah didahulukan daripada membai’at Khalifah yang baharu.

Maka inilah yang Talhah r.a maksudkan sebagai mereka membai’at dalam keadaan pedang dihunus di leher mereka dan tengkuk mereka, dalam keadaan mereka masih dalam cengkaman pemberontak menyebabkan mereka terpaksa berundur dari pandangan asal mereka iaitu: Qisas sebelum Bai’at.

Menerusi penghimpunan dua riwayat ini, terjawablah kemusykilan perlawanan antara riwayat-riwayat berkenaan sikap Talhah bin Ubaidillah al-Taimi r.a dan al-Zubair bin al-‘Awwam r.a dalam menghadapi perlantikan Ali bin Abi Talib r.a sebagai Khalifah.

Sikap Mu’awiyah bin Abi Sufian r.huma:

Adapun sikap Mu’awiyah r.a, juga sama dengan pendirian Talhah dan al-Zubair r.huma iaitu: Qisas sebelum Bai’at kerana menurut pandangan Mu’awiyah r.a, selagi mana di dalam kalangan pengikut Ali r.a terdapat mereka yang tertuduh membunuh Usman r.a maka tindakan membai’at Ali r.a dan tunduk kepada kekhilafahan beliau bermaksud tunduk dan menyerah kepada pembunuh Usman r.a.

Hal ini jelas sebagaimana dalam riwayat yang Sahih menyatakan:

عَنْ أَبِي مُسْلِمٍ الْخَوْلَانِيِّ أَنَّهُ قَالَ لِمُعَاوِيَةَ أَنْتَ تُنَازِعُ عَلِيًّا فِي الْخِلَافَةِ أَوْ أَنْتَ مِثْلُهُ قَالَ لَا وَإِنِّي لَأَعْلَمُ أَنَّهُ أَفْضَلُ مِنِّي وَأَحَقُّ بِالْأَمْرِ وَلَكِنْ أَلَسْتُمْ تَعْلَمُونَ أَنَّ عُثْمَانَ قُتِلَ مَظْلُومًا وَأَنا بن عَمِّهِ وَوَلِيُّهُ أَطْلُبُ بِدَمِهِ فَأْتُوا عَلِيًّا فَقُولُوا لَهُ يَدْفَعُ لَنَا قَتَلَةَ عُثْمَانَ فَأَتَوْهُ فَكَلَّمُوهُ فَقَالَ يَدْخُلُ فِي الْبَيْعَةِ وَيُحَاكِمُهُمْ إِلَيَّ فَامْتَنَعَ مُعَاوِيَةُ

Maksudnya: Daripada Abu Muslim al-Khaulani r.h bahawa beliau berkata kepada Mu’awiyah r.a: “Adakah anda mencabar Ali dalam masalah Khilafah atau anda ini seumpama dengan beliau?” Kata beliau (Mu’awiyah r.a): “Tidak, sesungguhnya aku mengetahui bahawa beliau (Ali r.a) lebih afdal daripada aku dan lebih berhak dengan perkara ini (Khilafah) tetapi apakah kamu tidak tahu bahawa Usman telah dibunuh secara zalim sedangkan aku adalah sepupu beliau dan wali yang berhak menuntut balas atas darahnya (qisas) maka pergi kepada Ali dan katakana kepadanya: “hendaklah dia memberi kepada kami para pembunuh Usman”. Maka mereka datang kepada beliau (Ali) dan bercakap kepadanya lalu kata beliau: “Hendaklah dia (Mu’awiyah r.a) memberi bai’at dan menyerahkan penghakiman mereka (pembunuh Usman) kepada aku”. Maka Mu’awiyah enggan.” [Fathul Bari, 13/86 dan kata Ibn Hajar al-‘Asqalani r.h: Sanadnya Jayyid].

Dalam riwayat Ibn ‘Asakir dinyatakan Mu’awiyah r.a berkata:

فائتوه فقولوا له فليدفع إلي قتلة عثمان وأسلم له

Maksudnya: “Pergilah kepada beliau (Ali r.a) dan katakana kepadanya: “Serahkan kepada aku pembunuh Usman maka aku akan menyerah (membai’at) kepadanya”. [Tarikh Dimasyq; Terjemah Mu’awiyah bin Abu Sufyian r.huma].

Riwayat ini menunjukkan bahawa Mu’awiyah r.a tidak sama sekali menafikan bahawa Ali r.a adalah orang yang berhak menjadi Khalifah bahkan Mu’awiyah r.a sedia berbai’at kepada Ali r.a bila-bila masa asalkan setelah qisas dijalankan terlebih dahulu yakni setelah para pembunuh Usman r.a dikenal pasti dan ditangkap.

Kesimpulan:

Hasil meneliti riwayat-riwayat pembai’atan Ali bin Abi Talib r.a ini kita dapat menyimpulkan beberapa perkara penting berkaitan masalah ini dan menyingkap beberapa syubhat kaum sesat seperti Syi’ah Rafidah:

Pertama: Ali bin Abi Talib r.a Tidak memiliki Wasiat daripada Rasulullah s.a.w untuk menjadi Khalifah selepas kewafatan baginda s.a.w seperti yang didakwa Rafidah.

Hal ini terpapar jelas melalui sikap Ali bin Abi Talib r.a yang berkali-kali menolak permintaan supaya menjadi Khalifah bahkan beliau berkata: “Aku menjadi wazir itu lebih baik daripada aku menjadi Amir”.

Jika benar Ali r.a mempunyai wasiat tentulah sebaik sahaja para pemberontak mengepung Usman r.a kemdian membunuhnya Ali r.a akan segera menuntut hak beliau dan mengisytiharkan diri beliau sebagai Khalifah tambahan pula para pemberontak Mesir memang sedia menyatakan mereka mahukan Ali r.a sebagai Khalifah.

Namun, hakikat semuanya adalah Ali r.a tidak memiliki Wasiat tersebut, ia hanyalah wahyu Syaitan kepada Abdullah bin Saba’ untuk menyesatkan manusia.

Kedua: Ali r.a bebas dari pembunuhan Usman r.a dan beliau tidak berkonspirasi dalam perbuatan zalim tersebut. Bahkan Ali r.a membenci kaum pemberontak yang membunuh Usman r.a walaupun mereka itu menyangka mereka adalah orang yang berwala’ kepada ‘Ali r.a.

Ini terpapar jelas melalui sikap Ali r.a yang enggan menerima Bai’ah daripada pemberontak sebaliknya berkeras dan menegaskan bahawa hak Bai’ah adalah milik para Sahabat Rasulullah s.a.w.

Ketiga: Batilnya sistem Demokrasi.

Ini sebagaimana jelas melalui sikap Ali r.a yang menyatakan hak melantik pemimpin bukan hak sama rata manusia tetapi hak Ahli Majlis Syura yang terdiri daripada pemuka Umat dan Ulama’ mereka yang ketika itu merupakan para Sahabat Rasulillah s.a.w –ridwanullahi ‘alaihim- yang diketuai Ahli Badar.

Keempat: Kesahihan Khilafah Ali bin Abi Talib r.a dan beliau merupakan Khalifah al-Rasyidin yang keempat dengan sepakat Ahlus Sunnah wal Jamaah.

Ijmak ini berlaku semenjak zaman Ali r.a lagi kerana setiap Sahabat radiallahu ‘anhum sama ada yang membai’at Ali r.a mahupun yang mengambil sikap berkecuali sewaktu peperangan Jamal dan Siffin ataupun Mu’awiyah r.a yang mengambil sikap enggan membai’at, kesemua mereka ini sepakat dan setuju bahawa Ali r.a adalah yang berhak memengangnya setelah kewafatan Usman r.a.

Kelima: Batilnya dakwaan bahawa Ali r.a dilantik menjadi Khalifah bukan atas keredaan kaum Muslimin atau perlantikan beliau adalah berdasarkan tangan-tangan luar daripada pemberontak. Bahkan jelas menurut riwayat-riwayat yang sahih Para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang memilih beliau dengan Ijmak.

Tekanan hanya berlaku dari segi pemaksaan kaum pemberontak untuk para Sahabat segera membai’at pemimpin dan situasi Bai’at yang berlangsung dalam keadaan Ibu Negara (Madinah) masih tegang dengan pembunuhan Khalifah.

Keenam: Pertelingkahan anatara Sahabat ridwanullahi ‘alaihim bukanlah atas dasar merebut jawatan dan habuan dunia tetapi salah faham dan perbezaan ijtihad dalam keadaan fitnah. Maka wajib atas kita menahan lisan daripada mencela mereka dan mengkritik mereka, bahkan wajib memohon keredaan ALLAH untuk mereka, ridwanullahi ‘alaihim ajma’ien.

Wallahul Muwaffiq.

21 Safar 1433 H/ 15 Jan 2012 M

Al-Madinah Al-Nabawiah, Kerajaan Arab Sa’udi.

Rujukan:

  • ‘Asrul Khilafah al-Rasyidah, Dr. Akram Dhiya’ al-‘Umari
  • Tarikh al-Khulafa’ al-Rasyidun, Dr. Muhammad Ibrahim Abal Khail
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabah, Dr. Muhammad Amkhozun.
  • Tahqiq Mawaqif al-Sahabiyain Talhah wa Al-Zubair fil Fitnah al-Kubra, Dr. Khalid Kabir ‘Ilal
  • Sahih wa Da’ief Tarikh al-Tabari, Muhammad Tahir al-Barzanji.
  • Asmal Matolib fi Sirah Amirul Mukminin Ali bin Abi Talib, Dr. Ali al-Salabi.

BENARKAH SAHABAT BERSENGKETA?

OLEH: MUHAMMAD ASRIE AL-MADANI

Telah masyhur dalam sejarah Islam bahawa selepas kewafatan baginda Rasulullah s.a.w dan selepas terbunuhnya Khalifah al-Rasyidin yang ketiga; Usman bin Affan r.h, umat Islam berada dalam keadaan perpecahan dan perbezaan pendapat yang membawa kepada pertumpahan darah.

Sering diwar-warkan di merata ceruk bahawa persengketaan yang berlaku dalam peperangan Jamal dan Siffin adalah persengketaan antara Sahabat-sahabat Rasulullah r.hum dan mereka ini berperang sesama sendiri.

Namun, berapakah jumlah Sahabat yang berperang sesama sendiri ini? Adakah semua Sahabat yang hidup ketika itu terlibat dalam persengekataan sesama sendiri ini? Syiah Rafidah mendakwa semua Sahabat menjadi kafir kecuali beberapa kerat kerana mereka semua terlibat dalam pertumpahan darah ini. Benarkah sedemikian rupa?

Jawapan yang tepat dan tidak teragak-agak adalah dakwaan dan tohmahan jijik Rafidah ini adalah dusta sama sekali kerana para Sahabat ridwanullahi ‘alaihim majoriti mereka langsung tidak terlibat dalam pertempuran sesama sendiri ini.

Imam Muhammad bin Sirin r.h, salah seorang Tabiin yang menyaksikan persengketaan ini dengan dua matanya berkata:

هاجت الفتنة، وأصحاب رسول الله صلى الله عليه وسلم عشرة آلاف، فما حضرها منهم مائة، بل لم يبلغوا ثلاثين

Maksudnya: “Berlaku fitnah sedangkan jumlah para Sahabat Rasulullah s.a.w semuanya (yang masih hidup) ketika itu 10,000 (sepuluh ribu) orang, tidak ikut serta dalam fitnah itu daripada mereka kecuali 100 (seratus) orang bahkan mungkin tidak sampai 30 (tiga puluh) orang sekalipun”. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].

Hal ini juga dapat dilihat dalam kitab-kitab sejarah Islam yang muktabar seperti al-Bidayah wan Nihayah oleh Ibn Kasir dan Tarikh al-Islam Imam al-Zahabi. Al-Imam Ibn Kasir r.h ketika menyenarikan nama-nama pembesar Sahabat yang terbunuh semasa peperangan Jamal menyebut hanya dua orang iaitu Talhah r.a dan al-Zubair r.a sedangkan kata Ibn Kasir r.h jumlah keseluruhan yang terbunuh dalam peperangan Jamal adalah 10,000 orang.

Bandingkan jumlah korban keseluruhan dengan jumlah Sahabat yang terkorban dalam peperangan Jamal ini, menunjukkan betapa sedikitnya Sahabat yang terlibat dalam peperangan ini.

Bahkan lebih menarik, Al-Zubair r.a tidaklah dibunuh di medan peperangan namun seorang Rafidah yang terlibat dalam pembunuhan Usman r.a mengekori beliau semasa beliau meninggalkan medan peperangan lalu si celaka ini membunuh beliau secara tipu muslihat ketika beliau sedang tidur reda Allah sebanyak-banyaknya atas beliau-Hawari Rasulillah s.a.w-.

Ketika berlaku peperangan Jamal ini, Saidina Al-Zubair r.a sebuah hadis Nabi s.a.w kepada beliau ketika Nabi s.a.w menemui beliau sedang duduk bersama Ali r.a lantas Nabi s.a.w bersabda: “Adakah kamu mencintainya wahai Zubair?” Jawab Zubair: “Apakah yang menghalangi aku untuk mencintainya?” Lalu Nabi s.a.w bersabda: “Maka bagaimana pula keadaan kamu nanti ketika kamu memeranginya sedangkan kamu berlaku zalim kepadanya?”

Apabila beliau teringat akan hadis ini, maka Saidina Zubair r.a segera beredar daripada pertempuran dan bersumpah tidak akan memerangi Ali r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/268-269].

Demikian juga telah tsabit semua Sahabat ridwanullahi ‘alaihim yang terlibat dalam peperangan Jamal ini menyesal dan mengaku mereka bersalah dalam tindakan mereka dan terjadi perdamaian antara mereka sebaik sahaja selesai peperangan.

Imam al-Sya’bi r.h begitu mengingkari ramainya Sahabat yang terlibat dalam peperangan Jamal sehingga beliau berkata:

لم يشهدها إلا علي، وعمار، وطلحة، والزبير من الصحابة

Maksudnya: “Tidak turut serta dalamnya (perang Jamal) melainkan Ali, Ammar, Talhah, dan al-Zubair daripada Sahabat”. [Tarikh al-Islam, 3/484]

Malah riwayat-riwayat sejarah lainnya menyatakan para Sahabat yang turut serta bersama Ali r.a dalam peperangan Jamal ini tidak lebih daripada 1000 sahabat sahaja sedangkan seperti kata Ibn Sirin r.h jumlah Sahabat yang masih hidup ketika itu adalah 10,000 orang. Bayangkan terdapat 9000 lagi sahabat ridwanullahi ‘alaihim tidak menyertai fitnah yang terjadi ini. [Ibid]

Sudahlah bilangan Sahabat yang turut serta ini sedikit, peperangan yang berlaku pula bukan berpunca daripada mereka ridwanullahi ‘alaihim sebagaimana yang ditegaskan para sejarawan Islam. Berkata Imam al-Zahabi r.h menyatakan pendapat para Ahli Sejarah:

اصطف الفريقان، وليس لطلحة ولا لعلي رأسي الفريقين قصد في القتال، بل ليتكلموا في اجتماع الكلمة، فترامى أوباش الطائفتين بالنبل، وشبت نار الحرب، وثارت النفوس

Maksudnya: “Kedua-dua pasukan berada dalam barisan dan tiada niat dalam diri Talhan dan Ali, ketua kedua-dua pasukan untuk berperang bahkan untuk berbincang untuk menyatukan suara lalu sekelompok orang daripada kedua-dua pihak mula melontarkan lembing maka menyala lah api peperangan dan berkobarlah jiwa…”.[Tarikh al-Islam, 3/486].

Jelas kalimah أوباش  menunjukkan yang memulakan peperangan adalah kaum yang tidak diketahui dan bukanlah daripada kalangan Sahabat sendiri bahkan mereka itu sangat berusaha untuk menyatukan kaum muslimin, bahkan Aisyah r.ha Ummul Mukmini sendiri ketika memujuk Kaab bin Sur keluar bersamanya ke Jamal berkata: “Sesungguhnya tujuanku hanyalah untuk memperbaiki antara manusia”.[Ibid]

Bahkan Kaab bin Sur al-Azdi r.h (Abu Nuaim r.h memasukkan beliau dalam kalangan Sahabat) keluar sebagai pemegang tali unta Ummul Mukminin membawa Mushaf dan perisai sahaja dan sepanjang peperangan beliau mengajak manusia supaya berdamai namun dia terbunuh terkena panah sesat (dan kita tidak meragui kemungkinan besar kaum Sabaiah –Rafidah- yang memanah beliau kerana tidak mahu peperangan dihentikan).

Demikian juga Muslim al-Juhani r.h daripada pihak Ali r.a diarahkan oleh Ali r.a untuk mengarak Mushaf dan menyeru supaya mereka berhenti berperang dan kembali kepada hukum al-Quran namun dia juga dibunuh bahkan dikatakan orang pertama yang terbunuh.[ibid, m.s 490].

Lihat, para Sahabat dalam peperangan Jamal ini sentiasa berusaha untuk menghentikan peperangan yang bukan mereka mulakan. Maka Laknat Allah atas tangan-tangan tersembunyi di sebalik kejadian ini yang tidak lain tidak bukan pengikut Abdullah bin Saba’, pengasas ajaran Syiah.

Berpindah pula kepada fitnah yang kedua iaitu peristiwa Siffin yang berlaku antara Saidina Ali r.a dan Saidina Muawiyah r.a.

Berkata al-Imam Ahmad bin Hanbal r.h: Menceritakan kepada kami Umayyah bin Khalid, dikatakan kepada Syu’bah: Ibn Abi Syaibah telah meriwayatkan daripada al-Hakam daripada Abdul Rahman bin Abi Laila berkata: “Turut serta dalam peperangan Siffin daripada Ahli Badar 70 (tujuh puluh) orang”. Berkata Syu’bah: “Abu Syaibah salah, kami telah berdiskusi dengan al-Hakam berkenaan perkara ini dan kami tidak dapati Ahli Badar yang menyertai Siffin kecuali Khuzaimah bin Tsabit[1]”. Dikatakan juga turut serta dalam Siffin daripada Ahli Badar, Sahl bin Hunaif r.a dan Abu Ayyub al-Ansari r.a. [al-Bidayah wan Nihayah, 7/281].

Al-Zahabi r.h menukil daripada Khalifah bahawa Sahabat Ahli Badar yang menyertai Siffin bersama Ali r.a adalah: ‘Ammar bin Yasir, Khawat bin Jabir, Sahl bin Hunaif, Abu Saad al-Sa’idi, Abul Yusr, Abu Rifa’ah al-Ansari dan Abu Ayyub al-Ansari.

Sahabat yang bukan Ahli Badar pula adalah: Khuzaimah bin Tsabit[2], Qais bin Saad bin Ubadah, Abu Qatadah, Sahl bin Saad al-Sa’idi, Qurzah bin Kaab, Jabir bin Abdullah, Ibn Abbas, al-Hasan, al-Husein, Abdullah bin Jaafar bin Abi Talib, Uqbah bin ‘Amir, Abu ‘Ayyash al-Razki, ‘Adi bin Hatim, al-Asy’as bin Qais, Sulaiman bin Surad, Jundub bin Abdullah, dan Jariah bin Qudamah”.

Lihat jumlah Sahabat yang menyertai peperangan Siffin ini boleh dibilang dengan jari sahaja wahai kaum Muslimin sekalian, masih terdapat beribu-ribu Sahabat lain lagi yang tidak turut serta dalam peperangan ini.

Adapun riwayat daripada Abdul Rahman bin Abza r.a:

شهدنا مع علي ثمانمائة ممن بايع بيعة الرضوان، قتل منهم ثلاثة وستون رجلاً، منهم عمار

Maksudnya: “Kami menyertai Ali bersama 800 orang yang berbaiat dalam Baiat al-Ridwan, terbunuh antara mereka 360 lelaki antaranya Ammar”. [Tarikh al-Islam, 3/545].

Riwayat ini munkar kerana perawinya: Yazid bin Abdul Rahman adalah Abu Khalid al-Dalani kerana dia sahaja bernama Yazid bin Abdul Rahman yang mempunyai riwayat yang diriwayatkan oleh Abdul Salam bin Harb.

Yazid ini dihukum Layyin oleh Ibn Adi dalam al-Kamil fid Dhu’afa’ dan cukuplah menjelaskan kedaifannya dengan disenaraikan dalam al-Kamil, kitab yang khusus menceritakan perawi yang daif sahaja dan Syuraik berkata: “Dia seorang Murjiah, kami berlindung dengan Allah daripadanya”. [Lihat al-Kamil, 7/277-278 dan al-Tarikh al-Kabir , al-Bukhari, 8/346-347].

Maka jelas kepada kita jumlah Sahabat yang terlibat dalam peperangan Siffin tidak sampai beberapa kerat sahaja, maka di manakah kesahihan tohmahan Rafidah bahawa ‘SEMUA SAHABAT KECUALI BEBERAPA KERAT’ kafir mereka kerana berperang sesama sendiri??

Kemudian, adakah mereka yang terlibat dalam peperangan Kafir? Demi Allah, sama sekali tidak kerana Nabi s.a.w telah menamakan mereka sebagai MUSLIMIN sebagaimana dalam sabda baginda:

إنَّ ابني هذا سَيِّدٌ ، ولعَلَّ اللهَ أَنْ يُصلِحَ به بَيْنَ فِئتَينِ عَظِيمَتَينِ من المسلمين

Maksudnya: “Sesungguhnya anak ku ini (yakni al-Hasan bin Ali r.hma) adalah Sayyid (penghulu), mudah-mudahan Allah akan membaikkan dengannya dua puak yang besar daripada Muslimin”. [al-Bukhari].

Hadis ini mengisyaratkan islah yang dilakukan oleh Saidina al-Hasan r.a dengan menyerahkan jawatan Khalifah kepada Saidina Muawiyah r.a yang dengan itu kaum muslimin berkumpul semula di bawah satu Khilafah dan dinamakan tahun itu sebagai ‘Tahun Jamaah’.

Jelas dan terang lagi bersuluh Nabi s.a.w menamakan kedua-dua kumpulan yang menyokong Ali r.a dan Muawiyah r.a sebagai MUSLIMIN, maka siapakah Rafidah sehingga berani-berani sahaja mengkafirkan para Sahabat Nabi s.a.w. Sungguh rahmat dan reda Allah tidak putus-putus mencurah ke atas para Sahabat Rasulullah s.a.w dan tidak putus-putus pula laknatNya atas kaum Rafidah yang zalim dan fasiq ini.


[1] Kedudukan Khuzaimah bin Tsabit r.a sebagai Ahli Badar terdapat pertikaian.

[2] Atas pendapat beliau bukan Badri